Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 di Putrajaya. - FOTO Mohd Fadli Hamzah
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 di Putrajaya. - FOTO Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan kepentingan pihak industri akan tetap diberi perhatian walaupun kerajaan akan mencerakin dan menelusuri semula kaedah pengagihan subsidi kepada subsidi bersasar.

Beliau berkata ini bagi memastikan subsidi yang memberi implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan pada masa ini, hanya dinikmati oleh pihak yang benar-benar layak.

Bagaimanapun, Anwar berkata kerajaan akan menyediakan kemudahan lain dan insentif yang akan diperbaiki untuk syarikat-syarikat agar ia tidak menjadi bebanan kerana mereka biasa dengan subsidi ini.

"Subsidi ini harus bersasar, targeted (disasarkan) seperti harga minyak, ia turut dinikmati golongan kaya, saya beri (tempoh) dua minggu untuk (pihak majlis tindakan) cerakin dan menelusuri implikasi dan berbincang dengan sektor swasta, pelabur yang berminat supaya mereka faham subsidi itu tujuannya meringankan beban rakyat miskin.

"Tentunya golongan kaya atau industri tidak harus ambil manfaat tetapi ada kepentingan lain yang kita akan sediakan, umpamanya kemudahan lain, insentif untuk syarikat akan diperbaiki supaya ia tidak jadi satu beban kepada mereka kerana mereka biasa dengan subsidi ini," kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022.

Mesyuarat bersama jabatan dan agensi kerajaan itu diadakan bagi membincangkan isu kos sara hidup yang menekan rakyat.

Antara pegawai tinggi kerajaan yang hadir pada mesyuarat bermula 11 pagi tadi ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, pegawai-pegawai daripada Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Selain itu, beliau mahu pemberian subsidi elektrik diteliti semula memandangkan pada masa ini manfaat yang diterima golongan miskin dan kaya adalah hampir sama.

"Bagi saya ia tidak munasabah, namanya subsidi tetapi mendapat manfaat kepada yang lain," katanya sambil memberi jaminan subsidi elektrik akan diteruskan bagi mengelakkan ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat yang layak menerimanya.

Namun, katanya bagi golongan terkaya dan industri besar tidak harus menerimanya kerana ia menjadi beban kewangan yang besar kepada kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 3:47 PM