Raja Noraina Raja Rahim dan Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Prestasi ekonomi Malaysia yang dicatatkan pada suku ketiga tahun ini membuktikan banyak dasar yang dibuat kerajaan semasa krisis Covid-19 adalah tepat dan membuahkan hasil.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian ekonomi negara pada tempoh berkenaan namun banyak lagi kerja yang perlu dilakukan.

"Saya berpuas hati tetapi banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk bantu ekonomi rakyat.

"Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga sebanyak 14.2 peratus ini bermakna banyak dasar yang dibuat kerajaan semasa krisis Covid-19 adalah tepat dan membuahkan hasil.

"Pakej rangsangan dan sokongan semasa pandemik yang bernilai keseluruhan RM530 bilion untuk tolong rakyat dan perniagaan. Ini tak termasuk Bajet 2021 dan 2022 yang bernilai keseluruhan lebih RM654 bilion," katanya dalam sidang media di Kampung Ijok di sini, hari ini.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - FOTO NSTP
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - FOTO NSTP

Hari ini, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Shamsiah Mohd Yunus dilaporkan berkata, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga, dipacu oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan kukuh pasaran pekerja, eksport elektrik dan elektronik (E&E) dan bukan E&E yang teguh serta sokongan dasar yang berterusan.

Beliau dipetik berkata, pertumbuhan itu sebahagiannya didorong oleh kesan asas yang rendah, berikutan langkah pembendungan yang ketat pada suku ketiga tahun lalu.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, pertumbuhan KDNK terbabit disokong perkembangan perniagaan dan sektor pekerjaan yang diwujudkan, sekaligus mengurangkan kadar pengangguran kepada 3.6 peratus pada September lalu, kadar terendah sejak Mei 2020.

"Bukan senang mengurus ekonomi waktu pandemik disebabkan ruang fiskal yang sempit. Kita laksanakan banyak dasar yang tak pernah dibuat oleh mana-mana negara sebelum ini, seperti moratorium bersasar dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Saya perlu mengimbangi antara selamatkan nyawa dengan selamatkan punca rezeki rakyat dan ekonomi. Alhamdulillah, pencapaian KDNK ini membuktikan banyak keputusan yang dibuat adalah betul," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan perlu meneruskan usaha memastikan keselesaan rakyat terutama apabila ekonomi dunia dijangka perlahan tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 3:49 PM