Ketua Pegawai Operasi (Pembangunan Hartanah WCT Holding Bhd), Chong Wah Hing (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif, DWG Malaysia, Justin Chew melihat replika rumah pada majlis menandatangani kerjasama strategik antara WCT Land & DWG Malaysia untuk Tower C, The Maple Residences. - FOTO NSTP
Ketua Pegawai Operasi (Pembangunan Hartanah WCT Holding Bhd), Chong Wah Hing (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif, DWG Malaysia, Justin Chew melihat replika rumah pada majlis menandatangani kerjasama strategik antara WCT Land & DWG Malaysia untuk Tower C, The Maple Residences. - FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: WCT Holdings Bhd (WCT Holdings) menerusi anak syarikatnya WCT Land Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dengan syarikat pemasaran, DWG Malaysia bagi memasarkan Tower C, The Maple Residences.

Timbalan Pengarah Urusan WCT Holdings Peter Chow Ying Choon berkata, ini adalah kolaborasi pertama syarikat hartanahnya bersama DWG Malaysia.

Katanya, pihaknya mengambil peluang kerjasama itu untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan pasaran dengan DWG.

"Kerjasama itu memberi hak eksklusif kepada syarikat berkenaan menjual lebih 300 unit mewah Tower C dengan menyasarkan pembeli tempatan dan antarabangsa.

"Kami percaya dengan rekod prestasi DWG dalam strategi pemasaran yang inovatif dan rangkaian jangkauan pelanggannya yang luas dapat mencapai sasaran penjualan Tower C itu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, The Maple Residences dibangunkan di atas tanah berkeluasan 25 hektar di kejiranan Taman OUG, di sini, membabitkan keseluruhan nilai pembangunan RM954 juta.

Kata beliau, kondominium itu mempunyai 940 unit membabitkan tiga bangunan utama dengan Tower A dan B sudah mencapai jualan masing-masing 91 peratus dan 63 peratus setakat ini.

Katanya, The Maple Residences yang menawarkan persekitaran pelbagai generasi untuk semua peringkat umur dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DWG Malaysia Justin Chew berkata, syarikatnya adalah platform sehenti untuk hartanah global.

"Dengan kepakaran kami yang menjangkau seluruh negara termasuk Thailand, United Kingdom, Jepun dan Dubai, sasaran WCT untuk menjual Tower C dalam masa setahun dapat dicapai.

"Kerjasama dengan WCT, kami melihat ramai pemilik rumah akan mengambil peluang ini sebagai pelaburan masa depan berikutan lokasi hartanah yang strategik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 10:07 AM