MALAYSIA sebagai sebuah ekonomi kecil  terbuka tidak terkecuali daripada tempias cabaran  dihadapi  oleh seluruh dunia.
MALAYSIA sebagai sebuah ekonomi kecil terbuka tidak terkecuali daripada tempias cabaran dihadapi oleh seluruh dunia.

MENTERI Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan asas ekonomi dan pembaharuan struktur bagi memastikan ekonomi negara kekal stabil susulan situasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang dialami pada masa ini.

Beliau berkata, seperti yang dinyatakan oleh Bank Dunia baru-baru ini, tiada penyelesaian yang cepat dan mudah kepada situasi ringgit berbanding dolar AS.

Hakikatnya, Malaysia sebagai sebuah ekonomi kecil yang terbuka tidak terkecuali daripada tempias cabaran-cabaran yang dihadapi oleh seluruh dunia, katanya.

Beliau berkata, walaupun dunia terus pulih daripada kesan pandemik Covid-19, kini Malaysia berhadapan dengan cabaran baru yang sudah mengakibatkan prospek ekonomi global bakal mengalami kemelesetan.

"Ini adalah berikutan ketegangan geopolitik antara AS dan China yang berterusan, peperangan di Ukraine yang masih tiada kesudahan, ancaman perubahan iklim seperti banjir dan kemarau di beberapa negara yang sudah menjejaskan bekalan makanan serta dasar sifar Covid-19 di China yang terus mengganggu bekalan rantaian dunia.

"Faktor-faktor ini jelas sekali berada di luar kawalan kita," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Kenyataan itu bagi mengulas mengenai pelbagai laporan, kebimbangan dan pertanyaan yang diajukan kepada Kementerian Kewangan terutama berkaitan kedudukan nilai mata wang ringgit dan perkembangan semasa ekonomi negara.

Tengku Zafrul berkata, apa yang boleh dilakukan kerajaan pada masa ini adalah memberi tumpuan kepada pengukuhan asas ekonomi dan pembaharuan struktur.

Sehubungan itu, kerajaan akan terus memastikan akaun semasa sentiasa kekal dalam lebihan, didorong oleh eksport yang terus meningkat dan negara tidak mengalami defisit berkembar atau twin deficit, katanya

"Setakat tahun ini, akaun semasa kekal positif dengan jumlah RM3.0 bilion pada suku pertama, dan RM4.4 bilion pada suku kedua," katanya.

Selain itu, kerajaan juga akan memastikan langkah-langkah pembaharuan fiskal diteruskan, termasuk pembentangan Akta Tanggungjawab Fiskal menjelang akhir 2022, katanya.

Tengku Zafrul berkata, justeru, apa yang penting pada masa ini adalah sistem kewangan negara dan pasaran saham terus berfungsi dengan baik dan teratur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 7:01 AM