Foto hiasan AFP
Foto hiasan AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Deloitte Malaysia menjangka dasar cukai alam sekitar akan diperkenalkan di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang sebagai sebahagian daripada usaha negara untuk mencapai sasarannya di bawah pelan Matlamat Pembangunan Mampan PBB dan menjadi negara pelepasan gas rumah hijau (GHG) bersih-sifar seawal 2050.

Ketua bahagian percukaiannya, Sim Kwang Gek berkata, ketika ini Malaysia menawarkan insentif cukai untuk menggalakkan pelaksanaan amalan hijau dan pelaburan hijau oleh perniagaan.

"Walaupun kita perlu memberikan insentif kepada usaha untuk melaksanakan amalan hijau, cukai alam sekitar mungkin diperkenalkan untuk mengelakkan kemusnahan alam sekitar kita dan menggalakkan korporat dan pengguna membuat pilihan yang mampan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

United Kingdom (UK), sebagai contoh, mempunyai pelbagai cukai alam sekitar seperti Climate Change Levy (Levi Perubahan Iklim), Landfill Tax (Cukai Tapak Pelupusan Sampah, dan Plastic Packaging Tax (Cukai Pembungkusan Plastik) dalam usahanya untuk mencapai objektif perubahan iklim menjelang 2050, kata Sim.

Selain itu, katanya, Singapura juga telah merangka pelan hala tuju bagi kenaikan kadar cukai karbonnya untuk mencapai komitmen neutral karbon dengan cukai karbonnya akan dinaikkan sebanyak lima kali ganda daripada SG$5 kepada SG$25 satu tan pelepasan GHG pada 2024, diikuti sebanyak SG$45 pada 2026, sebelum mencecah SG$50 hingga SG$80 satu tan menjelang 2030.

Beliau berkata Malaysia mungkin menimbang langkah yang sama untuk menggalakkan perniagaan dan pengguna melaksanakan perubahan tingkah laku ke arah pilihan yang mampan.

"Pengumuman Pasaran Karbon Sukarela dalam Bajet 2022 adalah satu cadangan yang baik dan mungkin dilaksanakan bersama dengan langkah cukai lain seperti cukai karbon untuk memacu objektif perubahan iklim.

"Pelaksanaan cukai karbon perlu mengambil pertimbangan keseluruhan bebanan kos kepada perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), rangka kerja undang-undang serta ketersediaan data yang boleh dipercayai," katanya.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan bersama oleh Bank Dunia dan Kementerian Alam Sekitar dan Air, Malaysia, yang merupakan anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ketika ini sedang membangunkan undang-undang Tanggungjawab Pengeluar yang Dilanjutkan (EPR) bagi pembungkusan sebagai sebahagian daripada Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) negara.

Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menakrifkan EPR sebagai dasar alam sekitar di mana tanggungjawab seseorang pengeluar bagi sesuatu produk dilanjutkan ke peringkat pasca pengguna bagi kitaran hayat produk.

Satu rangka kerja cukai holistik perlu dipertimbangkan untuk memastikan kejayaan pelaksanaan EPR di Malaysia, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 5:06 PM