Seorang lelaki berjalan berhampiran pejabat Grab di Singapura. - FOTO Reuters
Seorang lelaki berjalan berhampiran pejabat Grab di Singapura. - FOTO Reuters

Kuala Lumpur: Grab Holdings Ltd, syarikat 'e-hailing' atau seru pandu dan penghantaran terbesar di Asia Tenggara, meletakkan sasaran untuk mencatatkan pulangan modal menjelang 2024.

Menurut syarikat yang tersenarai di Nasdaq itu, ia didorong oleh pemulihan perniagaan seru pandu susulan pembukaan semula ekonomi di rantau ini serta peningkatan kecekapan dalam kos operasi penghantaran.

Grab, yang mengadakan Hari Pelabur pertama sejak disenaraikan berkata, ia mahu meraih pulangan modal berdasarkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang dilaraskan menjelang separuh kedua 2024.

"Secara khususnya, kami menjangkakan untuk memperoleh keuntungan daripada segmen penghantaran menjelang suku kedua 2023 dan meramalkan margin yang stabil sebanyak tiga peratus peratus dan ke atas sejak itu," katanya.

Operasi bank digital, bahagian penting dalam perniagaan teknologi kewangan (fintech) Grab yang berkembang pesat, dijangka balik modal menjelang 2026.

Segmen perkhidmatan pengangkutan Grab telah mencatat keuntungan dan memberikan margin kira-kira 12 peratus untuk dua suku pertama tahun ini.

Ogos lalu, syarikat itu berkata ia menjangkakan pendapatan 2022 sebanyak AS$1.25 bilion (RM5.76 bilion) hingga AS$1.3 bilion (RM5.99 bilion), yang akan melebihi 85 peratus pertumbuhan dari 2021.

Ketua Eksekutif Grab, Anthony Tan dalam kenyataan berkata, pihaknya bekerja keras untuk meningkatkan trajektori keuntungan dan menyampaikan pertumbuhan dengan cara yang mampan.

"Dalam tempoh 10 tahun dan 10 bilion perjalanan kemudian, kami masih berasa melakukan sedikit sahaja dalam misi untuk memacu Asia Tenggara ke hadapan.

"Kami percaya terdapat landasan pertumbuhan yang besar di hadapan untuk berkhidmat di rantau ini dan kami berada pada kedudukan yang baik dengan sumber untuk memanfaatkan peluang yang luas.

"Kami merancang untuk memanfaatkan kuasa ekosistem aplikasi super sebagai kelebihan kompetitif untuk mengukuhkan kepimpinan di rantau ini, sambil terus mengoptimumkan kos," katanya.

Katanya, Grab akan terus memacu ke arah menjadi platform atas permintaan terbesar dan paling cekap di Asia Tenggara yang membantu perdagangan dan mobiliti tempatan.

Dalam pada itu, menurutnya, Grab kini 100 peratus menggunakan GrabMaps, dengan perkhidmatan Grab di semua lapan negara kini dikuasakan sepenuhnya oleh teknologi peta Grab sendiri dan perisikan berasaskan lokasi.

Grab menganggarkan langkah ini dapat menjimatkan berpuluh-puluh juta dolar dalam potensi yuran pemetaan pihak ketiga setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 4:58 PM