ANTARA paparan kempen terbaharu JobStreet Malaysia.
ANTARA paparan kempen terbaharu JobStreet Malaysia.

Kuala Lumpur: Jumlah pekerjaan yang ditawarkan khususnya dalam era pascapandemik dilihat terus meningkat namun calon yang memohon dan mencari pekerjaan baharu semakin berkurangan.

Menurut JobStreet Malaysia, selepas pandemik Covid-19 semakin reda, banyak peluang pekerjaan ditawarkan di laman berkenaan.

"Lebih 80,000 pekerjaan disenaraikan di laman JobStreet Malaysia namun jumlah pemohon yang aktif mencari peluang pekerjaan dilihat terus berkurangan.

"Jumlah pekerjaan yang ditawarkan meningkat 65 peratus tahun ke tahun (dari September 2021 hingga Ogos 2022), berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

"Namun jumlah pemohon berkurangan 1.0 peratus tahun ke tahun," katanya.

JobStreet Malaysia berkata, walaupun banyak pekerja tidak berpuas hati dengan pekerjaan semasa mereka namun kebanyakan memilih untuk kekal di posisi sedia ada walaupun tidak gembira dan tertekan dengan tugasan masing-masing.

"Situasi ini berlaku kerana mereka tidak yakin dengan kemahiran sendiri dan takut berdepan perubahan yang mungkin berkait dengan komitmen kewangan sedia ada," katanya.

Berikutan itu, JobStreet Malaysia menjalankan kempen terbaharu bagi menyuntik semangat kepada pencari kerja untuk tampil lebih yakin.

"Kami memberi ruang kepada mereka yang mencari kerja untuk berfikir semula mengenai pekerjaan mereka dengan menunjukkan ilustrasi imej pengiklanan yang biasa dilihat seperti pelancongan, makanan dan kecantikan.

"Ia menggambarkan bahawa mereka boleh mendapat pekerjaan 'lebih baik'," katanya.

Menurutnya, dengan menggunakan aplikasi JobStreet, usaha mencari pekerjaan baharu menjadi lebih mudah.

"Antara ciri aplikasi ini adalah, calon akan dimaklumkan sekiranya terdapat pekerjaan yang sesuai dengan pengalaman mereka, kemahiran yang dimiliki dan kadar gaji yang dikehendaki.

"Ini bermakna, calon tidak perlu mencari peluang kerja, sebaliknya kerja berkenaan yang akan 'memilih' calon yang selayaknya.

"Dengan motto #SEEKBetter, aplikasi JobStreet akan membantu memadankan calon dengan pekerjaan baharu yang lebih menarik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 6:01 AM