ISMAIL Sabri menyaksikan Nicholas Sagau (dua dari kanan) bersama Datuk Dr Aria Putera Ismail (kiri) bertukar dokumen pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) negeri Selangor. FOTO Asyraf Hamzah
ISMAIL Sabri menyaksikan Nicholas Sagau (dua dari kanan) bersama Datuk Dr Aria Putera Ismail (kiri) bertukar dokumen pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) negeri Selangor. FOTO Asyraf Hamzah
Muhammad Najmir Razaman

PETALING JAYA: Satu memorandum persefahaman antara REV Media Group (RMG) dan MyMall melalui SME Bank ditandatangani sebagai usaha membantu para usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia. 

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melantik RMG sebagai rakan strategik untuk inisiatif MyMall ini.

Acara pertukaran memorandum persefahaman antara MyMall dan rakan-rakan strategik ini disaksikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Selangor bertempat di Tapak Karnival, Perkarangan Stadium Shah Alam, Selangor Darul Ehsan Jumaat lalu.

KUSKOP memperkenalkan platform digital MyMall bagi membantu  pembangunan ekosistem keusahawanan yang dikhususkan kepada usahawan serta produk-produk tempatan dan merangkumi empat paksi utama iaitu e-dagang, latihan, pembiayaan, serta pemasaran.

Sebagai rakan strategik, RMG akan membantu para usahawan PKS di Malaysia dengan memberikan peluang menggunakan khidmat platform pengiklanan REV Ad Manager (RAM).

RAM adalah gandingan bersama REV Media Group dan Dattel Asia Group, sebuah syarikat data dan analisis pengguna yang menawarkan satu penyelesaian unik dalam memperkasa jenama dan agensi.

Ketua Pegawai Operasi RMG, Nicholas Sagau berkata, mereka akan memberikan kredit percuma kepada para usahawan PKS dan ahli komuniti perniagaan MyMall sebagai permulaan untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan perniagaan mereka.

Katanya lagi, RAM dikuasakan dengan teknologi Artificial Intelligence (AI) untuk menyasar audiens dengan lebih baik. 

Mereka yakin bahawa RAM dapat membantu para usahawan mendapatkan capaian yang lebih luas dan dapat memanfaatkan data dari platform ini untuk membuat keputusan pemasaran yang lebih baik.

Para usahawan PKS akan dibantu oleh REV Marketing Partners, rakan kongsi platform RAM untuk proses pemasaran produk dan perkhidmatan di MyMall. 

Dengan menggunakan platform REV Ad Manager, usahawan PKS boleh mengiklankan produk mereka secara terus dan memanfaatkan 15.8 juta pelawat unik pada rangkaian audiens RMG di jenama-jenama terkemuka seperti Berita Harian, Harian Metro, New Straits Times dan banyak lagi.

Sebagai penerbit digital terkemuka di Malaysia, REV Media Group menyambut baik inisiatif ini dan sentiasa berusaha untuk membantu proses pemasaran para usahawan tempatan ke tahap yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 6:00 PM