BASHIR (kanan) bersama Rokas adi Menara Perbadanan Labuan. FOTO Bernama
BASHIR (kanan) bersama Rokas adi Menara Perbadanan Labuan. FOTO Bernama
BERNAMA

Labuan: Tender bagi cadangan pembinaan projek Pelabuhan Bersepadu Labuan dijangka dikeluarkan pada Disember 2022, kata Pengerusi Perbadanan Labuan Senator Datuk Bashir Alias ​​hari ini.

Beliau berkata, projek itu yang bertujuan mengurangkan kesesakan dan memastikan operasi kargo berjalan lancar di pelabuhan kontena, Labuan Liberty Wharf sedia ada di Labuan, akan dibina di kawasan seluas 500 ekar di luar pesisir di Rancha-Rancha.

"Saya telah diberitahu oleh pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan Datuk P Kalamanthan bahawa tender akan dikeluarkan pada Disember.

"Kami telah mengenal pasti kawasan laut Rancha-Rancha. Kerajaan telah memperuntukkan kawasan seluas 500 ekar untuk projek yang dicadangkan itu," katanya kepada Bernama selepas menerima kunjungan Duta Besar Kesatuan Eropah di Malaysia Michalis Rokas hari ini.

Bashir berkata terdapat keperluan untuk melakukan kerja-kerja penambakan bagi projek yang dicadangkan.

Beliau berkata Perbadanan Labuan akan membantu dalam memudahkan cadangan pembinaan projek berkenaan.

"Kami mengalu-alukan pelabur-pelabur yang kukuh dari segi kewangan untuk mengambil bahagian dalam proses tender demi kepentingan kelancaran pelaksanaan projek itu," katanya.

Dewan Negara pada 8 Ogos diberitahu bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengkaji cadangan pembinaan itu.

Menteri Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kajian setahun itu yang telah mendapat kelulusan Lembaga Pelabuhan Labuan akan dikendalikan tahun depan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Bashir ​​berhubung perkembangan terkini cadangan pembinaan projek Pelabuhan Bersepadu Labuan yang dirancang dibina di kawasan perindustrian Rancha-Rancha.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 4:27 PM