AZIZUL Azily (tengah) bersama pemenang  peraduan  Riang Ria Hari Raya anjuran BHPetrol. - Gambar NSTP/AZIAH AZMEE
AZIZUL Azily (tengah) bersama pemenang peraduan Riang Ria Hari Raya anjuran BHPetrol. - Gambar NSTP/AZIAH AZMEE

PERCUBAAN sulung bapa tujuh anak, Syed Ahmad Khairi Syed Ahmad Ramli dalam peraduan Riang Ria Hari Raya anjuran BHPetrol tidak sia-sia apabila terpilih antara 40 pemenang bertuah.

Kemenangan itu melayakkan Syed Ahmad Khairi, 51, membawa pulang wang tunai RM20,000.

Syed Ahmad Khairi berkata, dia memang gemar ke stesen BHP untuk mengisi petrol malah suka ke situ kerana banyak barangan dijual di kedai serbanekanya dan selesa dengan layanan kakitangan.

Bagaimanapun, dia yang menetap di Kuantan, Pahang tidak menyangka terpilih sebagai pemenang kerana sedar ramai peserta yang mengambil bahagian di seluruh negara.

"Ini kali pertama saya sertai peraduan sebegini. Alhamdulillah, saya terpilih sebagai pemenang hadiah utama.

"Wang kemenangan itu akan digunakan untuk anak kerana ada yang akan menyambung pengajian di universiti tidak lama lagi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah bersama Pemenang Peraduan Riang Ria Hari Raya di Hotel The Royale Chulan Damansara di sini, semalam.

Seorang lagi pemenang hadiah utama, S Krishnan, 46, dari Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor gembira kerana terpilih sebagai pemenang kerana memang mengharapkan kemenangan sejak menghantar penyertaan lagi.

"Saya terima panggilan untuk hadir menerima hadiah dua minggu lalu namun sekadar tahu diri saya terpilih sebagai pemenang ketika itu dan tidak tahu nilainya.

"Hari ini, baru saya tahu yang saya antara pemenang hadiah utama dan sudah tentu gembira.

"Saya bercadang menggunakan wang kemenangan untuk menyelesaikan apa yang patut," katanya yang juga peniaga ikan di sekitar Pantai Remis.

Sementara itu, Ketua BHPetrol Pegawai Eksekutif, Azizul Azily Ahmad berkata, peraduan yang diadakan sebahagian program promosi diatur BHPetrol untuk menghargai pelanggan sempena penggal kedua tahun ini.

Katanya, program promosi BHPetrol diadakan pada setiap penggal dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

"Secara amnya, kejayaan program ini dapat dilihat menerusi peningkatan jualan antara 10 dan 12 peratus.

"Diharap orang ramai dapat terus menyokong jenama BHPetrol malah akan ada lagi program dianjurkan akan datang dengan menawarkan hadiah kereta.

"Sempena majlis hari ini, BHPetrol turut menyumbang wang tunai RM20,000 kepada Jabatan Hal Ehwal ATM Veteran (HEV) dan ia salah satu cara kita menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta menyumbang perolehan syarikat kepada anggota tentera," katanya.

Peraduan Riang Ria Hari Raya itu dianjurkan selama dua bulan bermula 1 April hingga 31 Mei lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pemandu dari semua stesen BHPetrol di seluruh negara.

Ia menawarkan hadiah wang tunai bernilai sehingga RM220,000 merangkumi hadiah utama bernilai RM20,000 untuk lima pemenang, RM10,000 bagi lima pemenang hadiah kedua, RM5,000 untuk 10 pemenang dan saguhati RM1,000 kepada 20 pemenang.

Pelanggan layak mengambil bahagian dengan mengisi minyak BHPetrol Infiniti atau membuat pembelian di kedai serbaneka di BHPetromart yang berjumlah RM30 kemudian mengisi borang peraduan atau mendapatkan penyertaan automatik melalui aplikasi eKad kesetiaan BHPetrol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 7:10 AM