VIRTUOS, sebuah syarikat pembangunan permainan video global yang terkemuka sudah melancarkan studionya di Kuala Lumpur.
VIRTUOS, sebuah syarikat pembangunan permainan video global yang terkemuka sudah melancarkan studionya di Kuala Lumpur.

VIRTUOS, sebuah syarikat pembangunan permainan video global yang terkemuka sudah melancarkan studionya di Kuala Lumpur yang akan memberikan perkhidmatan pembangunan permainan, kejuruteraan serta pengeluaran seni secara menyeluruh kepada beberapa pemaju dan penerbit permainan yang terbesar di dunia.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Virtuous dalam satu kenyataan bersama menjelaskan pelancaran Virtuos Kuala Lumpur akan menjadi tambahan penting kepada sektor permainan video Malaysia yang berkembang pesat.

"Dengan kerjasama kerajaan Malaysia, Virtuos akan memberi tumpuan kepada pengembangan selanjutnya dan melatih bakat baharu," menurut syarikat itu.

Pengurus Besar Virtuos Kuala Lumpur Mufizal Mokhtar melahirkan keterujaan untuk memainkan peranan aktif dalam industri pembangunan permainan Malaysia dan pertumbuhan ekosistem digitalnya.

"Terima kasih kepada sokongan kerajaan Malaysia serta rangkaian Virtuos kami di peringkat global, kami mengalu-alukan kedatangan bakat terbaik ke dalam pasukan kami yang terdiri daripada pelbagai budaya dan bersama-sama, menjadikan permainan video lebih baik," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Virtuos, Gilles Langourieux berkata, dengan pelancaran Virtuos Kuala Lumpur, syarikat itu teruja untuk menyumbang kepada pendigitalan dan pertumbuhan Malaysia sebagai hab pembangunan permainan video serantau.

"Kami bercita-cita untuk meningkatkan angka jualan tempatan kami kepada 300 menjelang akhir 2025, serta menjadi salah satu studio terkemuka di Malaysia yang memberikan kitaran kepakaran pembangunan permainan video sepenuhnya dan projek yang berkualiti kepada rakan kongsi kami di seluruh dunia," katanya.

Terletak secara strategik antara ibu pejabat Virtuos Singapura serta studio Asia terbesarnya di China dan Vietnam, beliau berkata, Kuala Lumpur adalah pengembangan semula jadi untuk Virtuos di seluruh dunia.

Pengembangan ini juga dibina berdasarkan kepada pelancaran Virtuos di Lyon dan Montreal, serta pengambilalihan Glass Egg di Ho Chi Minh City dan Volmi di Ukraine tahun ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mida Datuk Arham Abdul Rahman berkata, penubuhan studio Virtuos di Malaysia sejajar dengan usaha menarik pelaburan kreatif berkualiti, yang akan menyumbang kepada sektor media digital selain mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

"Dengan pendapatan permainan global yang diunjurkan mencapai AS$219.90 bilion pada 2022, kemajuan teknologi yang berterusan dalam industri permainan video sudah meningkatkan cara permainan video dibangunkan dan meningkatkan pengalaman permainan secara keseluruhan untuk pengguna.

"Mida akan terus memainkan peranan aktif dalam mempromosikan industri permainan video yang akan menyumbang kepada ekosistem digital yang mampan dan meletakkan Malaysia di kedudukan teratas dalam senarai negara digital," katanya.

Virtuos yang ditubuhkan pada 2004 adalah syarikat pembangunan permainan video global terkemuka yang beribu pejabat di Singapura dengan studio di seluruh Asia, Eropah dan Amerika Utara.

Syarikat ini menyumbang kepada permainan video yang ikonik seperti Assassin's Creed, Call of Duty, Demon's Souls, Final Fantasy, Horizon Forbidden West dan Medal of Honor: Above and Beyond for Meta Quest 2.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 7:16 AM