AMLIZAN ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Pelan Transformasi KWAP di Menara Integra hari ini. FOTO Bernama
AMLIZAN ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Pelan Transformasi KWAP di Menara Integra hari ini. FOTO Bernama

KUMPULAN Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) akan terus mempelbagaikan strategi aset pelaburannya terutama dalam segmen pasaran swasta sekali gus mengekalkan momentum pulangan pelaburan sekurang-kurangnya enam peratus setiap tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Nik Amlizan Mohamed berkata, sejak 10 tahun lalu, KWAP berjaya mengekalkan kadar pulangan pelaburan enam peratus walaupun berdepan dengan persekitaran mencabar termasuk pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

Katanya, kepelbagaian kelas aset dan tindakan memperluas pelaburan dalam pasaran antarabangsa dan domestik terutama pasaran swasta memberi kelebihan kepada KWAP bagi mengekalkan pemberian pulangan mampan kepada ahli.

"Selain sasaran untuk mencapai saiz dana kasar RM200 bilion, KWAP berusaha memberi pulangan pelaburan yang lebih baik dan buat masa ini sebanyak 80 peratus daripada pelaburan adalah dalam pasaran domestik manakala 20 peratus luar negara dan kami menyasarkan peningkatan 30 peratus (pelaburan antarabangsa) menjelang 2025.

"Dari segi pasaran swasta pula, kami melihat ia lebih memberangsangkan dengan pertumbuhan pasaran dua angka berbanding pasaran awam, justeru KWAP akan memberi fokus pelaburan dalam pasaran swasta.

"Disebabkan itu juga, melalui Teras 5 pelan jangka panjang KWAP itu dijangka akan memacu pelaburan KWAP dalam kelas-kelas aset yang berbeza di serata dunia.

"KWAP akan dapat memanfaatkan sepenuhnya penyelidikan mikro dan makro dengan lebih efisien, sejajar dengan sifat ekonomi makro yang bersaling kait dan global.

"Hasilnya, Alokasi Aset Strategik KWAP yang teguh akan menyumbang kepada pulangan yang lebih kukuh dan mampan untuk dana kami," katanya pada sidang media selepas pelancaran Teras 5 KWAP di sini, semalam.

Nik Amlizan berkata, pihaknya optimis pulangan pelaburan tujuh peratus terutama melalui program tiga tahun berasaskan lima tunggak utama dalam Teras 5 akan dicapai menjelang 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 7:00 AM