TENGKU Zafrul (tengah) melakukan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Pelan Transformasi Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) TERAS 5 di Menara Integra, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
TENGKU Zafrul (tengah) melakukan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Pelan Transformasi Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) TERAS 5 di Menara Integra, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan yakin Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang melancarkan inisiatif TERAS 5 hari ini dapat mengembangkan saiz dana secara mampan dengan jumlah dana kasar sebanyak RM200 bilion menjelang 2025.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata KWAP turut menyasarkan peningkatan jumlah aset harta kepada lebih 30 daripada 17 serta mempunyai lebih 35 subsidiari dalam tempoh yang sama.

"KWAP telah berkembang maju sebagai sekumpulan syarikat yang telah meluaskan portfolio pelaburannya sebanyak tiga kali ganda dari dana bernilai RM41.9 bilion pada 2007 kepada sekitar RM159 bilion pada hari ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Transformasi KWAP di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata sebagai pemain dan pelabur utama, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) merupakan tunjang penting kepada asas ekonomi Malaysia dan menyumbang kira-kira RM445 bilion atau 25 peratus pasaran Bursa Malaysia serta memberi peluang pekerjaan kepada lebih 500,000 Keluarga Malaysia.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Nik Amlizan Mohamed berkata pelancaran TERAS 5 membuktikan komitmen KWAP sebagai pemacu hala tuju pertumbuhan yang mampan bagi organisasi ini dan juga ekosistem pencen di Malaysia.

"Pada ketika ini, terdapat 17 syarikat yang bernaung di bawah KWAP termasuk 14 syarikat khas dan dua anak syarikat," katanya pada majlis berkenaan.

Nik Amlizan turut menjelaskan KWAP telah merekodkan pendapatan bersih tertinggi yang berjumlah RM10 bilion.

TERAS 5 merupakan sebahagian daripada pelan dasar jangka panjang bagi menambah saiz dana dengan lebih berkesan dan kekal mampan yang melibatkan pemerkasaan lima pemboleh utama iaitu struktur, tadbir urus, modal insan, proses dan digital.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 11:30 AM