KAKITANGAN MR DIY menunjukkan demonstrasi penggunaan kit ujian kendiri.
KAKITANGAN MR DIY menunjukkan demonstrasi penggunaan kit ujian kendiri.

MR DIY menganjurkan inisiatif #DIY4Universiti Sentiasa Berwaspada, Tanggungjawab Bersama dengan mengedarkan 85,000 kit ujian percuma universiti tempatan di Semenanjung Malaysia.

Ia bertujuan mendidik pelajar mengenai kesedaran mencegah Covid-19 bagi memastikan diri dan komuniti universiti kekal selamat.

Ketika ini, inisiatif terbabit dilaksanakan di enam universiti antaranya Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Sungai Long, Universiti Antarabangsa Unitar Petaling Jaya, dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.

Ketua Pemasaran Kumpulan MR DIY, Alex Goh berkata, inisiatif berkenaan bertujuan mengingatkan pelajar kepentingan melakukan ujian saringan dengan kerap bagi memastikan diri mereka dan komuniti universiti kekal selamat, dan mempunyai akses melakukan ujian itu.

"Dengan virus Covid-19 yang masih berleluasa, adalah penting memastikan orang ramai berhati-hati dan tidak mengambil mudah tentang jangkitannya.

"Selain menyediakan kit ujian yang diperlukan pelajar, MR DIY juga mendidik mereka dengan menunjukkan cara menggunakan kit ujian dengan betul supaya pelajar kekal selamat serta dapat meneruskan pembelajaran.

"Ini keutamaan mutlak untuk memastikan negara terus berada di landasan pemulihan dan sebahagian daripada usaha kami sejak dua tahun lalu demi memastikan rakyat Malaysia dilengkapi peralatan perlindungan diri berpatutan dan mudah didapati," katanya.

Goh berkata, MR DIY bersedia mengedarkan lebih banyak kit ujian kepada empat universiti tempatan lain di seluruh negara pada Oktober 2022, apabila pelajar kembali ke kampus.

Universiti di bawah fasa program seterusnya termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Universiti Teknologi Malaysia (Kuala Lumpur dan Skudai, Johor), UTAR (Kampar, Perak), dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

MR DIY menjual kit ujian pada Januari 2022 dan sejak itu menjadi sumber yang boleh dipercayai rakyat Malaysia untuk mendapatkan kit ujian mampu milik.

Ia menawarkan tiga kit ujian Mix & Match yang terdiri daripada kit ujian calitan hidung dan air liur pada harga RM10 di cawangan-cawangan MR DIY, MR TOY, dan MR DOLLAR di seluruh negara sehingga 31 Ogos 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 7:00 AM