PENYELESAIAN VQ menggunakan teknologi awan terkini menawarkan pengalaman  menarik kepada pengunjung melalui aplikasi mudah alih Genting SkyWorlds.
PENYELESAIAN VQ menggunakan teknologi awan terkini menawarkan pengalaman menarik kepada pengunjung melalui aplikasi mudah alih Genting SkyWorlds.

ALIBABA Cloud, teras teknologi dan kepintaran Alibaba Group bekerjasama dengan Taman Tema Genting SkyWorlds untuk menghasilkan penyelesaian Virtual Queue (VQ) yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) pertama di rantau ini bagi taman tema.

Pengurus Besar Alibaba Cloud Intelligence bagi Malaysia, Kun Huang berkata, penyelesaian VQ itu menggunakan teknologi awan terkini untuk menawarkan pengalaman lancar dan menarik kepada pengunjung melalui aplikasi mudah alih Genting SkyWorlds.

"VQ Solution menggunakan AI untuk membolehkan pengurusan pengunjung yang lebih cekap dan mengurangkan masa menunggu secara dinamik.

"Tempahan VQ menggunakan algoritma AI termaju dan risikan masa nyata daripada masa menunggu permainan sehingga pemprosesan. Penyelesaian ini membolehkan pasukan operasi mengawal pergerakan pengunjung dengan lebih baik dan mengoptimumkan kapasiti permainan," katanya pada lawatan media Alibaba Cloud X Genting Skyworlds di sini, kelmarin.

Beliau menambah, penyelesaian Alibaba Cloud untuk Genting SkyWorlds, akan dapat mengendalikan jumlah pengunjung yang lebih tinggi di taman tema itu dan menguruskan trafik yang berlebihan dengan selamat melalui platform awan.

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Operasi Taman Tema Resorts World Genting, Greg Pearn berkata, Genting SkyWorlds adalah taman tema pertama di Asia Tenggara yang menampilkan teknologi VQ yang canggih, membolehkan pengunjung melangkau barisan yang panjang dan memilih aktiviti yang digemari pada masa ditetapkan.

"Dengan adanya sistem VQ bersepadu dalam aplikasi mudah alih ini, pengunjung akan mendapat akses kepada ciri-ciri menarik, termasuk menempah ruang waktu untuk permainan, tarikan dan persembahan hiburan pada masa yang ditetapkan, melihat jadual kunjungan yang dicadangkan berdasarkan pilihan peribadi dan menerima notifikasi masa nyata untuk tempahan VQ," katanya.

Menurutnya penyelesaian VQ berupaya mengurangkan masa menunggu kepada kira-kira 10 minit bagi sesetengah permainan, sementara giliran biasa mungkin mengambil masa menunggu selama lebih 60 minit.

Beliau berkata, selain itu, VQ dan khidmat perancang jadual lawatan yang dikuasakan oleh Alibaba Cloud membolehkan pengunjung membuat tempahan waktu yang dimahukan untuk permainan, tarikan dan persembahan serta merancang lawatan ke taman tema sebelum tarikh ketibaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 7:15 AM