KLCC catat tempahan untuk 127 perhimpunan global.
KLCC catat tempahan untuk 127 perhimpunan global.

PUSAT Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mencatatkan peningkatan permintaan yang ketara bagi acara secara bersemuka iaitu 127 perhimpunan global yang meliputi 51 konvensyen dan 76 pameran yang sudah ditempah bagi tempoh 2022 hingga 2024.

Pengurus Besar, Alan Pryor berkata, pusat itu menikmati landskap acara perniagaan lebih baik selepas dua tahun kesan buruk akibat pandemik Covid-19.

"Sejak negara membuka semula sempadan antarabangsa serta melonggarkan sekatan untuk mesyuarat dan acara pada April, pusat konvensyen ini sudah menjadi tuan rumah kepada 300 acara secara bersemuka dan mengalu-alukan 200,000 perwakilan dan tetamu," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Pusat Konvensyen Kuala Lumpur juga memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah bagi konvensyen antarabangsa utama dengan yang terbaru adalah konvensyen seni bina pada 2024 dan konvensyen perubatan pada 2026 dengan jumlah perwakilan masing-masing sebanyak 6,000 dan 5,000.

Beliau berkata, pusat ini juga menerima Anugerah Inovasi Global 2021 bagi Asia daripada Eventseum Hall Of Fame selain diiktiraf sebagai Pusat Konvensyen dan Pameran Mesra Muslim Terbaik menerusi Anugerah Halal in Travel 2022 oleh CrescentRating dan Halal Trip.

Acara kalendar yang akan diadakan di pusat konvensyen ini termasuk Simposium Geosains dan Penderiaan Jauh Antarabangsa 2022; Pameran dan Persidangan Perubatan Antarabangsa 2022; Kongres Glaucoma Asia-Pasifik 2022; Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau dan Eko Antarabangsa 2022; Kongres Antarabangsa mengenai Penyakit Berjangkit 2022 serta Persidangan Teknologi Pengalatan dan Pengukuran Antarabangsa IEEE 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 7:10 AM