STESEN Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di  Manjung, Perak.
STESEN Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung, Perak.

TENAGA Nasional Bhd (TNB) meninjau potensi penggunaan turbin angin pada masa depan bagi mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) di negara ini.

Ia adalah sejajar hala tuju kelestarian Kumpulan untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050.

Pengarah Projek (Hala Tuju Kelestarian), Bahagian Strategi & Usaha Niaga TNB, Dr Noor Miza Muhamad Razali berkata, pihaknya meletakkan sasaran masa depan untuk memastikan penjanaan tenaga oleh TNB adalah dari sumber rendah karbon.

"Kami akan memanfaatkan usaha sama di luar negara dari segi teknologi, kepakaran dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk membawa teknologi baharu RE ke dalam negara.

"Di Malaysia, beberapa kajian membabitkan potensi turbin angin memang telah dijalankan. Namun, sama ada ia boleh dilaksanakan bergantung kepada berapa saiz yang sebenarnya mempunyai skala ekonomi untuk Malaysia.

"Tenaga angin ini ada dua iaitu di luar pesisir dan daratan. Malangnya, turbin angin kelajuan tinggi di daratan tidak sesuai untuk Semenanjung Malaysia.

"Maka, kita kena tunggu teknologi (turbin angin) kelajuan rendah menjadi matang yang mana ia mengambil masa," katanya pada taklimat pengarang mengenai Hala Tuju Kelestarian TNB 2050 secara maya semalam.

Baru-baru ini, TNB telah membuat pelaburan dalam teknologi turbin angin menerusi anak syarikat milik penuhnya, Vantage RE Ltd (Vantage RE) dengan pengambilalihan 49 peratus kepentingan dalam syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL).

Aset itu termasuk lima turbin dengan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 41.5MW (Blyth 1) dan hak pembangunan projek angin luar pesisir terapung sehingga 58.4MW (Blyth 2) yang terletak di luar pantai Northumberland.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga TNB, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin dalam nota ringkasnya sempena taklimat itu, menyatakan TNB sedang mengambil langkah progresif untuk memenuhi matlamat Hala Tuju Kelestarian 2050.

Katanya, TNB menggunakan pendekatan serampang dua mata dalam mencartakan hala tuju berkenaan iaitu menjadikan perniagaan teras semasa mampan dan membina perniagaan mampan baharu untuk pertumbuhan.

"Pertumbuhan dan kemampanan perniagaan, seperti yang ditampilkan di bawah 'Reimagining TNB', terus menjadi tumpuan TNB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 7:00 AM