Rafiza Ghazali.
Rafiza Ghazali.
BERNAMA

Kuala Lumpur: KAF Investment Bank Bhd melantik Rafiza Ghazali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang dilantik dalam menerajui Bank Islam Digitalnya.

Dalam satu kenyataan, kumpulan perkhidmatan kewangan Malaysia itu berkata Rafiza pada mulanya akan menyertai KAF Investment Bank sebagai sebahagian daripada pasukan projek bank Islam digital sementara menunggu proses perbadanan entiti bank digital itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Thariq Usman Ahmad berkata, bank itu berbesar hati kerana Rafiza mengetuai pasukan kepimpinan perbankan digitalnya memandangkan beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam kedua-dua sektor swasta dan awam.

"Beliau yang mempunyai asas yang luas dalam perbankan serta penglibatannya dalam inovasi, terutamanya dengan komuniti teknologi kewangan Malaysia, akan menjadi aset besar dalam membina platform perkongsian perbankan digital KAF," katanya.

Menurut kenyataan itu, Rafiza mempunyai pengalaman merentasi industri kewangan daripada Pengurusan Danaharta Nasional Bhd kepada RHB Investment Bank Bhd, dan beliau menyelia teknologi maklumat, operasi pelaburan, perancangan korporat, kewangan serta penyelesaian perbendaharaan.

Rafiza juga pernah berkhidmat dengan Bank Negara Malaysia, Thomson Reuters dan Cagamas Bhd sebelum memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund Sdn Bhd, dan seterusnya beliau memainkan peranan penting dalam menerajui transformasinya menjadi pembina ekosistem pemula niaga dan agensi yang bertanggungjawab mengurus pembangunan Pelan Hala Tuju Ekosistem Pemula Niaga Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 10:35 AM