Maybank perkenal pengeluaran tunai tanpa sentuh di ATM melalui aplikasi MAE.
Maybank perkenal pengeluaran tunai tanpa sentuh di ATM melalui aplikasi MAE.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Maybank memperkenalkan perkhidmatan pengeluaran tunai Mesin Teler Automatik (ATM) tanpa sentuh yang pertama di Malaysia.

Perkhidmatan itu kini boleh digunakan melalui aplikasi MAE di ATM terpilih di seluruh negara yang menyasarkan peningkatan kemudahan kepada lebih 12 juta pemegang kad ATM Maybank berikutan pelanggan meneruskan penyesuaian gaya hidup dalam norma baharu dan menikmati akses yang lebih berdaya digital berbanding perkhidmatan perbankan tradisional.

Untuk membuat pengeluaran tunai, pengguna hanya perlu mengimbas kod respons pantas (QR) pada skrin ATM Maybank terpilih melalui aplikasi MAE, memasukkan jumlah, memberikan nombor pengenalan peribadi (PIN) atau pengesahan biometrik di aplikasi, dan menerima wang tunai daripada ATM.

Buat masa ini, pelanggan boleh menggunakan perkhidmatan ini terhadap 1,000 ATM yang akan menunjukkan ketersediaan perkhidmatan pengeluaran tunai tanpa sentuh di mesin dan akan disediakan di semua ATM milik Maybank.

Mana-mana pemegang kad ATM Maybank boleh memuat turun aplikasi MAE dan mendaftar

untuk perkhidmatan baharu ini. Had pengeluaran tunai yang boleh ditetapkan oleh pelanggan

melalui aplikasi MAE adalah had bersama dengan had kad ATM fizikal.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, Maybank telah menerajui perbankan digital selama bertahun-tahun dengan membawa pelbagai penyelesaian inovatif di pasaran untuk kemudahan pelanggan.

"Perkhidmatan pengeluaran tunai tanpa sentuh baharu adalah satu lagi langkah dalam penawaran holistik perkhidmatan perbankan digital yang kami telah menjadi perintis selama ini.

"Ia juga disediakan berikutan banyak perkhidmatan terkemuka yang kami perkenalkan baru-baru ini sebagai sebahagian daripada tawaran perbankan digital. Kami yakin akan terus menawarkan lebih banyak perkhidmatan digital pada bulan-bulan seterusnya," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, CEO Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Datuk John Chong berkata, pengeluaran ATM tanpa tunai bukan sahaja akan meningkatkan keselesaan kepada pelanggan, malah memastikan mereka dapat menikmati rangkaian penyelesaian digital yang komprehensif melalui satu aplikasi iaitu MAE.

"Pengenalan perkhidmatan pengeluaran tanpa sentuh itu turut didorong usaha bank untuk memastikan keselamatan pelanggan berikutan pelanggan tidak perlu menyentuh sebarang permukaan luaran secara fizikal, kecuali semasa menerima wang tunai daripada ATM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 2:57 PM