BERNAMA

Tumpat: Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) sedang membina sebuah kilang bernilai RM300 juta di Puchong, Selangor yang akan beroperasi untuk menghasilkan insulin dan vaksin halal.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, kilang yang mula dibina sejak dua tahun lepas itu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2023 dan akan memulakan pemasaran pada awal tahun 2024.

Katanya, apabila beroperasi nanti, kilang itu akan menghasilkan vaksin Covid-19 serta pelbagai vaksin lain dan insulin dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 100 hingga 300 juta dos dalam tempoh setahun.

"Pandemik lalu mengajar kita supaya Malaysia mempunyai jaminan ubat-ubatan. Oleh itu, kita kini dalam perancangan untuk melaksanakannya, selain beberapa perbincangan juga sudah diadakan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Setakat ini, bekalan vaksin diimport dari luar negara sepenuhnya. Dengan adanya kilang ini nanti, kita mampu untuk membangunkan vaksin sendiri di Malaysia dengan beberapa kerjasama dari Thailand, Korea dan India, sekali gus membuatkan kita tidak lagi bergantung kepada negara lain untuk mendapatkan vaksin," katanya.

ZULKARNAIN (tengah) pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan rasmi kunci rumah mangsa kebakaran Che Aziz di Kampung Kubang Palas. FOTO Siti Rohana Idris
ZULKARNAIN (tengah) pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan rasmi kunci rumah mangsa kebakaran Che Aziz di Kampung Kubang Palas. FOTO Siti Rohana Idris

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan rasmi kunci rumah mangsa kebakaran Che Aziz Che Teh di Kampung Kubang Palas di sini.

Turut hadir, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UAC Berhad, BT Gan.

Zulkarnain berkata, setakat ini, pihaknya sudah membekalkan sebanyak 20.4 juta dos vaksin Covid-19 kepada kerajaan dan kini masih mempunyai baki vaksin Covid-19 sebanyak 14 juta dos.

Katanya, pihaknya kini sedang menfokuskan untuk memasarkan bekalan vaksin yang ada untuk pasaran kepada pihak swasta termasuk klinik swasta dan klinik yang berdaftar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 8:09 AM