Kuala Lumpur: Aeon Co (M) Bhd (Aeon) berkolaborasi dengan kumpulan animasi Omar & Hana dengan melancarkan perisa baharu dalam rangkaian produk onigiri.

Terdapat lima perisa diperkenalkan untuk pasaran kanak-kanak dan turut diwakili watak di dalam animasi Omar & Hana.

Kacang Merah (Red Bean) diwakili Omar, Kacang dan Coklat (Choco Peanut) diwakili Hana, Kentang dengan Mayonis (Potato Mayo) diwakili Sara, Tuna dengan mayonis (Tuna Mayo) diwakili Yuki dan Ketam dengan mayonis (Kani Mayo) diwakili Indra.

Ketua Pegawai Operasi Aeon, Sunny Setiawan berkata, usaha sama ini antara langkah Aeon untuk menggiatkan pembangunan produk asimilasi Malaysia-Jepun.

"Kami yakin produk ini mampu mendapat sambutan baik dari pelanggan Aeon dan peminat Omar & Hana," katanya dalam satu kenyataan.

Pemilihan produk onigiri sebagai pencetus kolaborasi ini bertujuan memperkenalkan budaya makan makanan sihat dan berkhasiat dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

Onigiri adalah makanan dari Jepun yang bukan sahaja boleh dimakan segera malah mengenyangkan.

"Kami ingin jadikan Aeon sebagai duta kecil Jepun di Malaysia yang dapat memperkenalkan dengan lebih dekat budaya positif masyarakat Jepun.

"Produk dihasilkan Aeon Delicatessen ini juga disahkan halal oleh Jakim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 6:00 AM