KASPERSKY menyarankan syarikat sentiasa memastikan perisian terkini pada semua peranti bagi mengelakkan sebarang ancaman.
KASPERSKY menyarankan syarikat sentiasa memastikan perisian terkini pada semua peranti bagi mengelakkan sebarang ancaman.

Kuala Lumpur: Sebahagian besar organisasi yang pernah menjadi mangsa ransomware memilih untuk membayar 'wang tebusan' sekiranya berdepan masalah sama pada masa akan datang.

Namun, hanya 33 peratus organisasi yang pernah menjadi mangsa bersetuju untuk membayar wang tebusan secepat mungkin, sebaliknya 30 peratus memilih untuk menanti selama dua hari dengan mencuba mendapatkan semula data mereka.

Berdasarkan laporan Kaspersky mengenai bagaimana eksekutif perniagaan melihat ancaman ransomware, ia mendapati 88 peratus organisasi yang pernah diserang, memilih untuk membayar wang tebusan, sekiranya menerima ancaman baharu.

Bagi organisasi yang belum pernah diserang, hanya 67 peratus bersedia membayar tebusan, namun tidak akan dilakukan secepat mungkin.

Menurut laporan itu, pemimpin perniagaan yang pernah berdepan ancaman ini percaya bahawa membayar wang tebusan adalah cara paling berkesan untuk mendapatkan semula data.

Ini kerana, syarikat tidak mempunyai kesedaran bagaimana untuk memberi maklum balas terhadap ancaman seumpama itu selain masa yang panjang diperlukan untuk percubaan mendapatkan semula data.

Mereka berpandangan bahawa perniagaan akan kehilangan lebih banyak duit ketika menanti untuk mendapatkan semula data berbanding membayar tebusan.

Berikutan itu, Kaspersky menyarankan syarikat sentiasa memastikan perisian terkini pada semua peranti bagi mengelakkan sebarang ancaman.

Selain itu, gunakan perlindungan ransomware pada semua peranti.

Namun, menurut Kaspersky, yang paling utama adalah jangan membuat sebarang bayaran tebusan kerana ia tidak menjamin syarikat menerima semula data mereka.

"Membayar tebusan hanya akan menggalakkan penjenayah ini mencari mangsa lain.

"Laporkan insiden serangan kepada pihak berkuasa yang sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 5:00 AM