Kuala Lumpur: Pemilik jenama Tealive, Loob Holding Sdn Bhd melancarkan stor berkonsep baharu atau Tealive Plus di Pavillion Kuala Lumpur.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo berkata, Tealive Plus memberikan tawaran lebih jitu melalui bahan premium bagi menenuhi permintaan di lokasi eksklusif.

"Premium bermakna kami gunakan produk segar seperti beri segar dalam minuman termasuk menu snek artisan yang menawarkan makanan panas.

"Pada masa sama, kami menawarkan produk premium baharu ini pada harga berpatutan untuk semua peringkat pelanggan walaupun kos bahan mentah terus melonjak," katanya ketika pelancaran stor berkenaan di samping meraikan kerjasama dengan Kitkat, jenama coklat dari Nestle.

Syarikat itu merancang membuka 10 lagi stor berkonsep baharu di pusat bandar Kuala Lumpur termasuk di Bangsar dan Mont Kiara.

Secara keseluruhan, Tealive, yang dilahirkan pada 2017, kini mempunyai lebih daripada 700 stor di Malaysia.

Loo berkata, sebagai satu jenama gaya hidup di Asia Tenggara, ia merancang untuk berkembang kepada sekurang-kurangnya satu kedai konsep di setiap pasaran serantau.

Tealive turut bertapak di Australia, Brunei, Myanmar, Filipina, United Kingdom, Vietnam dan Kemboja.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestle Professional bagi Malaysia dan Singapura, Yit Woon Lai menyifatkan kerjasama pertama dengan Tealive sebagai detik bermakna untuk kedua-dua pihak bagi menjalin kerjasama erat di masa depan.

"KitKat satu jenama wafer coklat terkenal di peringkat dunia dan usaha mencampurkannya dengan teh Tealive merupakan usaha bersama yang hebat oleh kedua-dua pasukan penyelidik serta pemasaran.

"Sudah pasti, ini bukan penamat kerjasama ini dan kami berharap dapat menyaksikan lebih banyak usaha seumpamanya kerana Nestle yang mempunyai rangkaian produk pelbagai," katanya.

Pada acara itu, Loo and Yit memperkenalkan minuman KitKat Coco Wafer Smoothie Tealive yang merangkumi Berry Smoothie dan Signature Smoothie yang diperbuat dengan lepa KitKat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 7:00 AM