MAG juga berjaya mengurangkan kerugian bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK21) sebanyak 60 peratus bagi tahun ke tahun.
MAG juga berjaya mengurangkan kerugian bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK21) sebanyak 60 peratus bagi tahun ke tahun.

MALAYSIA Aviation Group (MAG) merekodkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang positif bagi 2021 iaitu RM433 juta berbanding kerugian sebanyak -RM1.7 bilion pada 2020.

Dalam satu kenyataan semalam, kumpulan itu menyifatkan prestasi terbabit disumbangkan oleh strategi mampan yang digariskan dalam Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 (LTBP2.0).

Malah, menurut MAG, ia juga berjaya mengurangkan kerugian bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK21) sebanyak 60 peratus bagi tahun ke tahun.

"Ini dapat dicapai berikutan kekukuhan prestasi kargo oleh MAB Kargo yang menjana pendapatan sebanyak RM3 bilion susulan pertambahan permintaan global yang membolehkan peningkatan pengangkutan dan penggunaan ruang dalam pesawat menerusi penerbangan penumpang kepada kargo.

"Pada 2021, hasil penumpang MAB meningkat sebanyak 57 peratus, dibantu oleh platform Penyelesaian Memaksimumkan Pendapatan Syarikat Penerbangan (ARMS)," katanya.

ARMS memberi gambaran lengkap serta menyeluruh mengenai aspek ekosistem hasil dan kos syarikat penerbangan, tambang lebih khusus serta tawaran kepada pelanggan pada kadar sanggup dibayar dengan menggunakan ciri-ciri unjuran.

MAG berkata, langkah penyusunan semula yang dilaksanakan pada 2021 juga memberi peluang kepada kumpulan itu untuk menambahbaik lembaran imbangannya secara menyeluruh serta menangani isu legasi sejak berdekad lamanya, sekali gus menyaksikan pengurangan liabiliti lebih RM15 bilion serta menghapuskan hutang RM10 bilion

Kos operasi lebih rendah susulan inisiatif penjimatan kos/pengelakan yang dilaksanakan oleh kumpulan selain penurunan kos pemajakan pasca kejayaan penyusunan semula, hanya meningkatkan lagi sumbangan ke atas peningkatan prestasi bagi 2021, katanya.

Menurutnya, aliran trafik penumpang dan kapasiti berkurangan masing-masing sebanyak 56 peratus tahun ke tahun dan 70 peratus tahun ke tahun akibat pelaksanaan sekatan perjalanan di peringkat domestik dan global bagi sebahagian besar 2021.

Bagi kemajuan masa depan, kumpulan itu menyasarkan peningkatan permintaan penumpang dan jualan yang ketara dan menyumbang kepada imbangan tunainya susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur.

"Operasi kargo akan terus menerajui pasaran berikutan pergerakan permintaan kargo di rantau Asia Pasifik yang diunjur meningkat sebanyak 5.0 peratus.

"MAB dan penerbangan sekutunya akan secara beransur-ansur meningkatkan kapasiti bagi laluan penerbangan domestik dan antarabangsa dengan sasaran meraih lebih 70 peratus daripada paras kapasiti sebelum pandemik," katanya.

Dalam pada itu, MAG berkata, konflik Rusia-Ukraine membangkitkan aspek kebimbangan dan cabaran dalam menguruskan kos operasi yang terjejas secara langsung akibat lonjakan harga bahan api.

Menurutnya, paras harga bahan api semasa pada US$110-US$130 setong, mewakili sehingga 40-45 peratus daripada kos operasi kumpulan iaitu peningkatan 35-40 peratus berbanding setahun lepas.

"Semua syarikat dalam kumpulan ini sudah mengambil langkah segera bagi mengurus impak kenaikan kos bahan api," katanya.

Pada masa sama, MAG turut menegaskan aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan kumpulan dan pelbagai langkah diambil bagi mengelak penerbangan di kawasan atau zon konflik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 7:10 AM