Naib Presiden Kanan Siemens Energy Asia Pasifik, Samuel Morillon. - FOTO NSTP
Naib Presiden Kanan Siemens Energy Asia Pasifik, Samuel Morillon. - FOTO NSTP
BERNAMA

Cyberjaya: Siemens Energy akan membangunkan Pusat Operasi Keselamatan SIber, Pengoperasian Teknologi, Pengurusan Respons Pengesanan (MDR OT cSOC) yang pertama seumpamanya di rantau Asia Pasifik di Cyberjaya, Malaysia.

MDR OT cSOC akan mengalirkan pelaburan yang diunjurkan lebih daripada RM10 juta dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang dan akan memulakan operasi menjelang hujung tahun ini.

Pusat itu, yang dilengkapi dengan pusat respons serta pengesanan ancaman OT dalaman akan memantau, mengesan dan mencegah serangan siber secara proaktif pada masa nyata dan akan dijana oleh platform teknologi MDR berasaskan kepada kepintaran buatan (AI).

Menurut Naib Presiden Kanan Asia Pasifik Siemens Energy, Samuel Morillon berkata pusat itu akan meletakkan Malaysia sebagai hab keselamatan siber untuk Asia Pasifik dengan kemampuan memberikan perkhidmatan kepada mana-mana pelanggan di seluruh dunia.

"Pembangunan pemantauan dan pengesanan OT yang terbina untuk tujuan adalah penting bagi daya tahan rantaian nilai tenaga.

"Dalam ke arah mengubah landskap tenaga dengan berkesan, adalah penting agar pertahanan siber infrastruktur operasi kritikal diperkukuhkan di sepanjang rantaian nilai tenaga untuk menjadi lebih selamat dan berdaya tahan," katanya pada majlis pecah tanah di sini hari ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif Promosi Pelaburan dan Fasilitasi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sivasuriyamoorthy Sundara Raja.

Keupayaan MDR OT cSOC merangkumi pengurusan tindak balas insiden keselamatan, pengurusan perisikan ancaman, pemburuan serta pengurusan kerentanan berasaskan risiko.

Sivasuriyamoorthy, dalam ucapannya berkata pembukaan MDR OT cSOC akan melengkapkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang telah diperkenalkan pada 2021.

"Saya agak teruja kerana Siemens Energy telah memilih Malaysia sebagai destinasi OT cSOC Asia Pasifik yang pertama, yang akan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan untuk pihak berkepentingan kami, yang kemudiannya, akan membantu perniagaan dalam mengutamakan pelaksanaan projek pendigitalan di Malaysia," katanya.

Pelaburan dalam pusat keselamatan siber 'Siemens' bukan sahaja akan membawa masuk pengetahuan teknikal keselamatan siber ke Malaysia tetapi ia juga akan menjadi platform yang sangat baik yang akan memantapkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju hab keselamatan di Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 4:43 PM