MR DOLLAR kini memiliki 54 cawangan di seluruh negara.
MR DOLLAR kini memiliki 54 cawangan di seluruh negara.

ANAK syarikat milik penuh MR DIY Group (M) Berhad, MR DOLLAR menyasarkan penambahan sehingga 15 cawangan di seluruh negara, pada tahun ini.

Ketua Pemasaran MR DIY, Alex Goh berkata, sehingga kini, MR DOLLAR mempunyai 54 cawangan di seluruh negara.

"Menerusi 54 cawangan terbabit, kami menawarkan 14,000 produk yang berbeza daripada pelbagai segmen seperti makanan, minuman serta keperluan isi rumah.

"Bagi memenuhi sasaran ini, kami menyasarkan pembukaan satu cawangan pada setiap bulan untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia dalam mendapatkan barangan pada harga berpatutan.

"Bagi segmen perniagaan dalam talian untuk MR DOLLAR, pelanggan boleh membuat pembelian menerusi laman web MR DIY di mana mereka dapat membeli-belah mengikut keselesaan sendiri," katanya ketika temu bual Kempen Harga Kami Tetap Sama di cawangan MR DOLLAR di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, MR DOLLAR juga buat masa ini akan lebih fokus dalam mengembangkan perniagaan mereka di pasaran tempatan.

Dalam pada itu, beliau turut menyedari tekanan dalam berbelanja barangan makanan dan keperluan rumah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia buat masa ini.

"Kebanyakan pelanggan mencari barangan dengan harga yang berpatutan dan kita dapat lihat kenaikan harga yang semakin ketara di pasaran.

"Sehubungan itu, sebagai jenama kelahiran Malaysia dan peruncit perkakas rumah terbesar di negara ini, kami ingin memainkan peranan untuk menunda kenaikan harga selama mungkin untuk membantu rakyat Malaysia.

"Di MR DOLLAR, kami menetapkan 'Harga Kami Tetap Sama' dengan kadar harga RM2 dan RM5 sahaja, malah akan terus mempelbagaikan produk di MR DOLLAR," katanya.

Sejak diasaskan pada tahun 2020, MR DOLLAR menawarkan pelbagai rangkaian produk dalam 10 kategori iaitu coklat dan manisan, snek dan biskut, bahan masakan, barangan runcit, minuman, produk bakeri, makanan sejuk beku, keperluan rumah, perkakasan dan alat tulis, mainan dan sukan pada harga RM2 atau RM5 sahaja.

Pelbagai jenama yang terkenal turut boleh didapati di kedai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 7:20 AM