Nur Hidayati Ahmad Barudin
Nur Hidayati Ahmad Barudin

Kota Bharu: Memulakan bisnes tanpa ilmu sehingga menyusahkan keluarga dan berhutang dengan mereka sehingga lima angka, pengalaman yang tidak dapat dilupakan pengasas eNuur Sdn Bhd Nur Hidayati Ahmad Barudin.

Beliau ketika ditemui berkata, ketika itu dirinya tidak ada ilmu dalam bisnes sehingga terpaksa berhutang dengan suami, adik-beradik dan mentua.

"Saya malu, tetapi saya terpaksa demi untuk meneruskan perniagaan. Malah, saya juga jarang ambil gaji sendiri kerana perlu berjimat untuk buat pusingan modal bisnes.

"Ketika itu, tak ada asas langsung mengenai perniagaan dan saya sedar perlunya ada ilmu lantas menyertai kelas RichWorks pada 2015, tapi tidak konsisten. Pada 2017 saya pergi semula, tetapi pada 2020 saya ambil keputusan sertai program mentoring Titanium kerana perniagaan tersekat," katanya.

Beliau yang sebelum ini bercita-cita menjadi pensyarah melupakan hasrat itu selepas terbabit dengan perniagaan dropship buku dan kini menjadi pengasas al-Quran Tagging eNuur.

Nur Hidayati yang juga pemegang ijazah sarjana dalam kejuruteraan berkata, perniagaan dijalankan tak berkembang kerana tidak mempunyai bimbingan walaupun jualan ketika itu mencapai RM1.9 juta.

"Alhamdulillah, jualan meningkat apabila saya mula memperbaiki ilmu kepimpinan dengan membina hubungan yang lebih baik serta akrab dengan pasukan dan dropship," katanya.

Menurutnya, hasil bimbingan Mentor Usahawan Datuk Wira Dr Azizan Osman dan RichWorks, jualan pada 2020 diraih sebanyak RM5.7 juta dan meningkat kepada RM12 juta pada 2021, seterusnya menyasarkan RM30 juta pada tahun ini.

Setakat ini, eNuur mempunyai 13,000 dropship dan bagi yang berminat menjana pendapatan bersama eNuur boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web enuur.com.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 11:35 AM