ANTHONY   (kiri) bersama Pengarah Operasi Jaya Grocer, Daniel Teng.
ANTHONY (kiri) bersama Pengarah Operasi Jaya Grocer, Daniel Teng.

Kuala Lumpur: Grab Holdings Limited (Grab) mengumumkan ia sudah menyelesaikan pengambilalihan pegangan utama dalam Jaya Grocer Holdings Sdn Bhd (Jaya Grocer).

Kedua-dua syarikat akan bekerjasama menawarkan perkhidmatan penghantaran barangan keperluan bagi pengguna Malaysia.

Ia juga secara tidak langsung membolehkan pembayaran GrabPay dan GrabRewards di seluruh rangkaian kedai fizikal Jaya Grocer.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersama Grab, Anthony Tan berkata, menjadi misi Grab untuk menjadikan barangan runcit atas permintaan lebih mudah diakses semua orang.

"Jaya Grocer terkenal dengan pelbagai pilihan produk segar dan barangan runcit mereka yang berkualiti. Dengan menggabungkan kumpulan dan keupayaan penghantaran atas permintaan kami yang luas, selain kehadiran rangkaian pembekal Jaya Grocer yang kukuh, kami boleh menghantar produk berkualiti ini ke lebih banyak kediaman dengan lebih pantas.

"Kami percaya perkongsian ini akan mempercepatkan lagi pertumbuhan perniagaan penghantaran barangan runcit dan kami teruja dengan peluang besar di hadapan kami," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengasas Jaya Grocer, Teng Yew Huat berkata, rekod prestasi Grab yang kukuh dan keupayaan melaksanakan dengan cara hiperlokal memberikannya keyakinan bahawa ia menemui rakan kongsi sesuai untuk membawa Jaya Grocer ke tahap lebih tinggi.

"Saya bina Jaya Grocer dari bawah - dari kedai pertama kami di Lembah Klang hingga lebih 40 kedai.

"Pengambilalihan ini memberi kami peluang menakjubkan untuk bukan sahaja berkembang sebagai sebuah syarikat, tetapi mengembangkan pasaran perkhidmatan runcit dalam talian di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 7:01 AM