DATUK Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO arkib Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO arkib Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebarang tindakan pelaksanaan dasar hasil baharu akan hanya diperkenalkan selepas ekonomi negara kembali pulih dan rakyat bersedia untuk menerimanya, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ketika menegaskan perkara itu, beliau berkata, negara perlu terlebih dahulu menangani isu berkaitan inflasi yang berlaku berikutan gangguan rantaian bekalan global, kos tenaga seperti harga bahan api yang naik mendadak serta peningkatan permintaan pengguna di seluruh dunia akibat pembukaan semula ekonomi global.

"Faktor-faktor ini semua sudah memberi kesan kepada kos sara hidup Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan B40 dan M40," katanya ketika mengumumkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Ke-83, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul turut menjelaskan bahawa pelbagai inisiatif diambil bagi mengatasi isu-isu inflasi dan kenaikan harga barang keperluan asas.

"Peruntukan berjumlah RM31 bilion dalam bentuk subsidi petrol RON95, diesel, minyak masak dan tepung sudah digariskan dalam Bajet 2022 manakala RM200 juta diperuntukkan untuk mengurangkan harga barang keperluan di kampung," katanya.

Memberi penjelasan lanjut mengenai Bajet 2022, beliau berkata, setakat 14 Januari 2022, sejumlah RM31 bilion sudah disalurkan kepada individu dan perniagaan melalui 43 inisiatif kerajaan.

Bagi Pelan Sektor Kewangan 2022-2026, Tengku Zafrul berkata, pelan itu menggariskan tiga hasil utama iaitu kewangan untuk semua, kewangan untuk pembaharuan dan kewangan untuk kemampanan.

Ia juga menggariskan lima teras strategik, iaitu, mencapai hasil-hasil seperti membiayai transformasi ekonomi Malaysia, meningkatkan kesejahteraan kewangan isi rumah dan perniagaan dan memajukan pendigitalan sektor kewangan, kata beliau.

Menurut Tengku Zafrul, pelan tersebut turut menyasarkan pembangunan kewangan berasaskan nilai melalui kepimpinan dalam kewangan Islam serta meletakkan sistem kewangan pada kedudukan teratur yang memudahkan peralihan secara teratur kepada ekonomi lebih lestari.

TAMAT.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 1:32 PM