GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Kuala Lumpur: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencapai kadar vaksinasi Covid-19 sebanyak 99.7 peratus untuk lebih 41,000 pekerja yang berkhidmat dengan kumpulan syarikatnya di Malaysia.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Farehana Hanapiah berkata, kadar vaksinasi yang tinggi itu, setakat Januari 2022, atas langkah agresif yang diambil untuk menjaga kesihatan dan keselamatan serta kerjasama dan kesediaan pekerja selain mereka yang berkhidmat dalam industri serta keluarga dan tanggungan mereka.

"Keutamaan kami dari awal ialah memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja supaya operasi perniagaan kami dapat terus berjalan dengan selamat dan cekap dalam rantaian nilai serta bekalan bahan api dan tenaga kepada pelanggan kami dan semua rakyat Malaysia tidak terganggu.

"Ini penting supaya perniagaan, aktiviti ekonomi, perkhidmatan penting dan kehidupan harian dapat diteruskan dengan kurang atau tiada gangguan.

"Antara cara ke arah ini ialah memastikan pekerja kami mendapat perlindungan sebanyak mungkin daripada bermulanya pandemik dan mempercepatkan vaksinasi mereka sebaik sahaja vaksin boleh didapati untuk tenaga kerja industri," katanya dalam satu kenyataan.

Susulan pelaksanaan program vaksinasi di Malaysia pada Februari 2021, Petronas, di bawah program imunisasi perkongsian awam-swasta pada Jun 2021, mengoperasikan pusat vaksinasi pertama (PPVIN) untuk industri minyak dan gas di Pengerang, Johor.

Ini diikuti lima lagi PPVIN yang sama, dibuka secara berturut-turut, iaitu di Bintulu dan Miri, Sarawak, di Kuala Terengganu dan Kertih di Terengganu dan di Sungai Udang, Melaka.

Secara keseluruhannya, lebih 30,000 orang telah mendapat vaksinasi di enam PPVIN.

Ini termasuk lebih 9,000 pekerja Petronas manakala baki penerima vaksin adalah pekerja industri minyak dan gas, tanggungan mereka dan sebahagian ahli masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 7:45 AM