TOYOTA berada di landasan yang betul dengan agenda hijau.
TOYOTA berada di landasan yang betul dengan agenda hijau.

Kuala Lumpur: Toyota merekodkan sejarah sepanjang 2021 dan kini muncul sebagai jenama automotif bukan nasional nombor satu di Malaysia.

Ia juga menerajui beberapa kategori termasuk keseluruhan kenderaan jenama bukan nasional, segmen-B, pikap dan hatchback.

Malah, Toyota Vios menjadi model paling laris dengan 31 peratus jualan dan Hilux masih mengekalkan kedudukan sebagai pikap paling laku di Malaysia sejak 2005.

Sepanjang tahun lalu, UMW Toyota Motor mencapai jualan keseluruhan sebanyak 72,394 unit, meningkat 22 peratus berbanding jualan pada 2020 iaitu sebanyak 59,320 unit.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, pihaknya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh pelanggan.

"Terima kasih kepada pelanggan setia atas sokongan berterusan mereka terhadap jenama kami dan memilih Toyota sebagai teman pilihan di jalan raya.

"Walaupun sebahagian besar 2021 menjadi tahun yang agak mencabar bagi kebanyakan sektor, termasuk automotif, pasukan di Toyota menunjukkan daya tahan dengan terus berinovasi untuk menawarkan hanya penyelesaian mobiliti terbaik kepada pelanggan kami yang tidak sabar-sabar untuk kembali ke jalan raya selepas sekatan pergerakan berakhir pada Ogos," katanya dalam satu kenyataan.

Berakhirnya 2021, UMW Toyota Motor memulakan 2022 dengan pelbagai perancangan termasuk menginovasi masa depan mobiliti dengan tumpuan kepada kelestarian.

"Permintaan untuk kenderaan lestari semakin meningkat dengan peralihan global ke arah amalan bersih dan mampan.

"Pada peringkat tempatan, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memberi tumpuan kepada memacu negara kita menjadi sebuah negara neutral karbon menjelang 2050 dan mencapai pertumbuhan yang mampan.

"Toyota berada di landasan yang betul dengan agenda hijau, menerajui barisan hadapan teknologi Hybrid Electric dengan lebih daripada 18 juta kenderaan terjual sehingga kini dan menawarkan 45 kenderaan elektrik hibrid (HEV) berbeza dalam pasaran," katanya.

Ia termasuk kenderaan hybrid pertama dipasang di Malaysia iaitu Toyota Corolla Cross Hybrid yang dilancarkan baru-baru ini.

"Rakyat Malaysia dilihat menyokong inisiatif teknologi hijau dan kelestarian alam serta ia dikukuhkan lagi dengan tempahan bagi model hybrid ini terus meningkat sejak ia mula dibuka Oktober lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 7:01 AM