DR Mohd Harridon. FOTO Arkib NSTP
DR Mohd Harridon. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Penubuhan National Aerospace Industry Corporation Malaysia (Naico Malaysia) akan menguntungkan negara sekali gus membantu syarikat tempatan mahupun luar negara menjalankan perniagaan mereka secara jitu di Malaysia.

Ketua Seksyen Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kuala Lumpur-Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (UniKL-Miat), Prof Madya Kapten Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, pada dasarnya Naico Malaysia berperanan untuk mengkoordinasikan pihak yang terbabit dalam industri aeroangkasa.

Katanya, ia bagi memastikan setiap pihak memperolehi secara optimum landasan yang betul untuk mencapai objektif perniagaan mereka.

"Naico Malaysia adalah 'match maker' yang menyelaraskan sumber aeroangkasa dan sumber-sumber ini dapat diguna pakai oleh pihak berkaitan dalam industri aeroangkasa untuk meningkatkan tahap perniagaan mereka.

"Mereka juga bertindak sebagai badan yang memacu sektor aeroangkasa di Malaysia mengikut pelan tindakan Aero Angkasa Negara 2030 di maka Naico Malaysia berperanan untuk mengkoordinasikan pelabur dan rantaian bekalan serta terbabit dalam pembangunan industri itu," katanya.

Menurutnya, ia juga terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam perbincangan dan perjanjian antara pihak berkenaan dan syarikat aeroangkasa sejajar dengan langkah kerajaan untuk memudahkan kolaborasi antara entiti dalam sektor itu.

Katanya, ia bakal menguntungkan negara kerana Naico Malaysia mempunyai agensi yang memperjuangkan dasar aeroangkasa negara.

Kerajaan baru-baru ini sudah meluluskan Naico Malaysia sebagai agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memacu pembangunan ekosistem industri aeroangkasa di negara ini.

Kelulusan itu juga diberikan sejajar dengan pertumbuhan industri aeroangkasa yang mencatatkan pendapatan tinggi RM16.2 bilion pada 2019 dan pekerjaan berkemahiran tinggi kepada lebih 10,000 pekerja tempatan.

Kerjasama dan perkongsian dengan agensi berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan ditingkatkan untuk meningkatkan pelaburan aeroangkasa yang strategik dan berkualiti bagi membantu integrasi serantau dan global rantaian bekalan tempatan, yang mana peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya PKS Bumiputera.

Aeroangkasa juga adalah satu daripada tiga bidang tumpuan Transformasi Ekonomi Bumiputera di bawah Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 5:14 PM