MALAYSIA amat memerlukan pelan strategik yang boleh membawa negara kepada kestabilan ekonomi.
MALAYSIA amat memerlukan pelan strategik yang boleh membawa negara kepada kestabilan ekonomi.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KERAJAAN harus memikirkan alternatif yang seimbang untuk membantu kewangan rakyat serta melakukan perundingan awam (public consultation) dengan mengambil kira pendapat umum.

Pakar Kewangan Islam dan Fintech, Muhammad Fahmi Mustafa berkata, cadangan pinjaman yang berasaskan cagaran ke atas wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mungkin alternatif yang boleh diperhalusi.

Katanya, ini di mana ia mungkin boleh menjaga ekosistem kewangan semua pihak yang terbabit dan masa sama dapat membantu rakyat sambil menjana ekonomi negara.

"Dengan keputusan tidak memberi lagi pengeluaran KWSP, kerajaan hendaklah memikir alternatif seimbang untuk membantu kewangan rakyat.

"Kajian ke atas kepenggunaan dan impak duit KWSP yang sudah dikeluarkan sebelum ini adalah perlu untuk perancangan lebih strategik.

"Memperkenalkan inovasi ke atas instrumen pinjaman dengan pembabitan institusi berkaitan dengan kerajaan boleh dilakukan, selain mengekalkan dan memperbaiki bantuan seperti moratorium di bank.

"Kerajaan melalui institusi yang berkaitan mampu menawarkan instrumen yang bukan tipikal seperti instrumen sedia ada, contohnya pinjaman peribadi dan sebagainya.

"Permasalahan sebenar ke atas isu ini adalah keadaan ekonomi negara yang kurang stabil.

"Malaysia amat memerlukan pelan strategik yang boleh membawa negara kepada kestabilan ekonomi.

"Di sini semua pihak, bukan hanya kerajaan perlu bekerja keras untuk memulihkan ekonomi negara secara umumnya dan ekonomi rakyat secara khususnya," katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau mengulas mengenai kerajaan mengulang pendirian tidak membenarkan pengeluaran tambahan caruman KWSP lagi untuk memastikan pencarum Bumiputera tidak berada di bawah garis kemiskinan apabila bersara.

Beliau berkata, umum sepatutnya mengetahui duit yang disalurkan ke KWSP bukanlah 'duduk diam di dalam peti besi'.

"Malah, majoriti duit itu dalam bentuk digital dan ia tidak dormant dan mesti dilaburkan.

"Jangka masa pelaburan berbeza mengikut risiko dan pulangan. Jika duit ini tidak dilaburkan maka tiadalah dividen dan duit yang disimpan akan dimamah inflasi.

"Untuk mencairkan pelaburan bukan kerja mudah, kerana ia memerlukan penjualan aset yang mungkin harganya sudah merosot di kala ekonomi yang kurang stabil ini.

"Disebabkan itu, saya percaya kerajaan akan cuba untuk mempertahankan dasar ini kecuali keadaan yang terlampau mendesak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 6:55 AM