CCCG merancang menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab pasaran Asia Tenggara. FOTO BERNAMA
CCCG merancang menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab pasaran Asia Tenggara. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: China Communications Construction Group (CCCG), syarikat pembinaan berpangkalan di China merancang menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab pasaran Asia Tenggara.

Pengarah CCCG Overseas Real Estate Pte Ltd, Zhang Bao berkata, usaha sama untuk projek pembangunan hartanah baharu dicari di Malaysia, terutama di lokasi utama di sekitar kawasan ibu kota.

"Kami percaya pasaran hartanah pulih pada tahun depan, namun ia mengambil sedikit masa untuk mencapai tahap aktiviti prapandemik.

"Dengan bantuan kerajaan, kami memainkan peranan sebagai pemaju hartanah mewah dan menyumbang ke arah kemakmuran negara dengan menarik pelaburan asing.

"Walaupun ini tempoh paling mencabar dalam tempoh 20 tahun lalu, saya berpuas hati dengan apa yang kami capai pada tahun ini dan berusaha bersama pasukan saya untuk memberikan prestasi lebih baik tahun depan," katanya dalam kenyataan.

CCCG ialah syarikat Fortune 500 yang berada di kedudukan ke-61 di dunia dengan pendapatan AS$106.8 bilion (RM449.79 bilion).

CCCG dan rakan kongsinya WCT Holdings Bhd melalui syarikat usaha sama (JV) CORE Precious Development Sdn Bhd membangunkan CORE Residence @ TRX iaitu projek mewah pegangan bebas dengan nilai pembangunan aksar (GDV) bernilai RM1.4 bilion di Tun Razak Exchange.

Zhang berkata, gabungan pelancaran infrastruktur mega, pengaktifan semula program Malaysia My Second Home (MM2H) dan pembukaan semula sempadan pada tahun depan menjana keterujaan dalam pasaran hartanah.

Katanya, pertemuan secara dalam talian dengan bakal pembeli dari negara dan wilayah seperti Hong Kong, China dan Singapura sedang berjalan dan menyatakan hasrat terbang ke Kuala Lumpur bagi meneliti projek mereka sebaik sahaja dibenarkan.

"Dalam tempoh pandemik, CORE Precious mengambil langkah segera untuk mengtransformasi secara digital dan membolehkan pembeli antarabangsanya membuat proses pembelian end-to-end secara jarak jauh.

"Ini termasuk penggunaan visual berkualiti tinggi, teknologi realiti maya dan strim langsung ejen. Pelanggannya dengan pantas menerima kecekapan dan kemudahan membeli-belah untuk rumah baharu secara dalam talian dan bukan sebaliknya secara kehadiran individu.

"Walaupun impak wabak ini pasti dirasai, kami masih menjana jualan ketara hasil tindakan pantas pasukan dalam mengalihkan sebahagian besar operasi secara digital. Minat terhadap projek kami kekal berdaya tahan kerana lokasi utama di daerah kewangan antarabangsa negara dan harga menarik setiap kaki persegi. Ini memberikan keyakinan dan ruang kepada pelanggan menikmati kenaikan harga selepas wabak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 8:58 AM