WONG
WONG

Kuala Lumpur: Platform sewaan kediaman tanpa deposit terbesar di Malaysia, Speedhome menyaksikan Setia Alam muncul sebagai kawasan pinggir bandar yang mendapat permintaan tinggi bagi sewa kediaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Speedhome, Wong Whei Meng berkata, berdasarkan laporan mengenai Bekalan dan Permintaan Sewa di Lembah Klang untuk separuh pertama 2021, Setia Alam muncul buat pertama kalinya dalam tempoh tiga tahun.

"Ini adalah kali pertama dalam tempoh tiga tahun kami melihat kawasan pinggir bandar muncul dalam 20 kawasan permintaan teratas kami dan permintaan semakin meningkat di kawasan itu apabila ia terus berkembang," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, selain itu, tiga kawasan permintaan teratas terus diduduki oleh kawasan matang dengan Petaling Jaya kekal di senarai teratas untuk tahun ketiga berturut-turut diikuti Brickfields, Cyberjaya, Putrajaya dan Setapak.

"Dengan julat harga RM1,850 hingga RM2,200, faktor utama yang mendorong permintaan penyewa di kawasan ini adalah kemudahan yang mantap, peluang pekerjaan, lokasi utama dan sewaan mampu milik.

"Kebiasaannya permintaan sewa di Brickfields dan Setapak adalah didorong oleh golongan pelajar dan belia yang bekerja untuk mencari akses mudah kepada pengangkutan manakala permintaan untuk Cyberjaya dan Putrajaya pula didorong oleh harga sewaan berpatutan dan terdapat pelajar universiti di kawasan itu," katanya.

Menurutnya, laporan itu juga mendapati jurang jangkaan sewa antara tuan rumah dan penyewa telah mengecil pada separuh pertama 2021 berbanding separuh pertama 2020.

"Memandangkan Covid-19 menjejaskan pasaran hartanah sewa, tuan rumah telah menurunkan harga permintaan sewa mereka, menjadikan median harga permintaan sewa menurun sebanyak 2.25 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Oleh hal yang demikian, jurang jangkaan sewa juga kekal dalam peratusan satu digit pada separuh pertama tahun ini iaitu 6.6 peratus," katanya.

Menurutnya, walaupun jurang jangkaan sewaan semakin mengecil, harga median transaksi sewa keseluruhan menyaksikan peningkatan sebanyak 1.82 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Ini disumbangkan terutamanya oleh peningkatan dalam urus niaga di kawasan popular seperti Petaling Jaya dan Brickfields.

"Selain itu, laporan itu juga mendedahkan bahawa kuasa tawar-menawar oleh penyewa kekal kukuh pada separuh pertama 2021 kerana lebih banyak hartanah dijangka memasuki pasaran menyebabkan perubahan dalam pasaran sedia ada yang sudah terlebih bekalan.

"Selain itu juga, laporan itu mendedahkan bahawa walaupun negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, permintaan sewa oleh setiap penyewa mencatatkan pertumbuhan positif iaitu sebanyak 2.31 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 7:04 AM