Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Shahidan Kasim membuat lawatan ketika pemberian sumbangan ShopeePay Push Cart kepada 31 orang penjaja Taman Tasik Metropolitan, Kepong. FOTO AZIAH AZMEE
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Shahidan Kasim membuat lawatan ketika pemberian sumbangan ShopeePay Push Cart kepada 31 orang penjaja Taman Tasik Metropolitan, Kepong. FOTO AZIAH AZMEE
Sri Ayu Kartika Amri


Kepong: ShopeePay Malaysia melaksanakan program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan menyumbangkan 31 ShopeePay Push Cart kepada penjaja di Taman Tasik Metropolitan Kepong.

Inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama ShopeePay itu bakal memberikan imej baharu kepada aktiviti perniagaan dan penjajaan yang berkonsepkan usahawan moden dengan piawaian lokasi, reka bentuk, persekitaran dan perkhidmatan yang lebih kondusif dan kompetitif selaras dengan hasrat bandaraya bertaraf dunia menjelang 2030.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, program seumpama ini juga bakal mewujudkan persekitaran digital yang baharu dengan penggunaan perkhidmatan pembayaran secara dalam talian tanpa membabitkan transaksi tunai di lapangan.

Katanya, konsep perniagaan seumpama ini akan diperluaskan secara berperingkat sebagai pendedahan konsep baharu kepada penjaja di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Program yang dilaksanakan secara CSR bersama ShopeePay Malaysia ini dilihat mampu meningkatkan imej serta standard kepada 31 penjaja di Taman Tasik Metropolitan Kepong dan kita mengalu-alukan pihak lain yang berminat untuk memberi sumbangan.

"Selain itu, pelbagai inisiatif lain turut disediakan termasuklah penyediaan latihan keusahawanan bagi meningkatkan keupayaan penjaja supaya mereka sentiasa berada dalam posisi berdaya saing selain menerapkan penggunaan teknologi digital seiring dengan permintaan dan persekitaran semasa," katanya kepada media selepas majlis penyerahan ShopeePay Push Cart di sini, hari ini.

Menurutnya, kementerian dan DBKL akan terus komited mengenal pasti ruang dan peluang untuk mentransformasi aktiviti perniagaan di Wilayah Persekutuan termasuk bekerjasama dengan pihak swasta dalam memperkenalkan konsep perniagaan lebih moden serta berdaya saing.

Katanya, semoga usaha ini akan mengubah perspektif warga kota terhadap imej konsep perniagaan yang konvensional kepada perniagaan lebih moden.

Sementara itu, pihak DBKL juga akan menjemput pemain industri yang berpengalaman untuk memberi pendedahan kepada penjaja dengan cabaran dan persaingan penjajaan.

Program ini juga akan diselaraskan secara berperingkat bagi mewujudkan kerjasama dengan rantaian penganjur penjaja dan agensi yang membantu melahirkan usahawan penjaja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 9:13 PM