GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Johor mencatatkan nilai keseluruhan pelaburan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama sebanyak RM6.56 billion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata, sebanyak 7,860 peluang pekerjaan dijangkakan mampu disediakan berdasarkan nilai keseluruhan pelaburan berkenaan.

"Pelan Induk Pelaburan Negeri Johor 2030 (PIPNJ 2030) sedang dirangka bagi memacu agenda pelaburan negeri yang lebih berdaya saing pada masa hadapan.

"Pelan ini adalah satu dokumen rujukan yang lengkap dalam memacu agenda pelaburan negeri bagitempoh 10 tahun akan datang. Pelan ini dijangka akan siap pada hujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Tan Chen Choon (Dap- Jementah) berkenaan nilai pelaburan yang diterima Johor pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor yang ke-14, di sini, hari ini.

Mohd Izhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Larkin berkata, pelbagai inisiatif sedang dilaksana dan dirancang kerajaan negeri bagi mengekalkan pelaburan sedia ada dan menarik pelabur baharu.

Katanya, beberapa jawatankuasa khas pelaburan turut ditubuhkan kerajaan negeri antaranya Ibrahim Johor Economic Council (IJEC), penubuhan Johor Economic Tourism Cultural Office (JETCO) dan inisiatif Singapura-Johor-Kepulauan Riau (SIJO-KepRi).

"Sesi promosi bersama bakal pelabur turut giat diadakan melalui perbincangan secara dalam talian.

"Antara sesi dialog dan perbincangan yang diadakan ialah Johor Bahru Chinese Chamber of Commerce (JBCCI), Malaysia International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) dan Malaysia - Singapore Business Council & Singapore Business Federation (SBF)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 1:38 PM