MOHD Muazzam
MOHD Muazzam

BANK Islam Malaysia Bhd memperluaskan bantuan kewangannya untuk menolong kumpulan berpendapatan rendah B50 melalui Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (Urus).

Urus, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober lalu, membolehkan industri perbankan untuk terus membantu pelanggan B50 dalam mengurus dan melaksanakan komitmen pembiayaan mereka dalam persekitaran semasa yang mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, inisiatif itu dibuka sehingga 31 Januari 2022 kepada pelanggan B50 yang layak.

"Bank Islam memudahkan prapemprosesan permohonan Urus sebelum menyerahkannya kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk semakan dan kelulusan selanjutnya.

"Selepas mengemukakan permohonan lengkap mereka kepada AKPK, Bank memaklumkan kepada pelanggan melalui e-mel. Selepas itu AKPK menghantar e-mel kepada pemohon berhubung pelan kewangan peribadi dan status permohonan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, ekonomi Malaysia dijangka beransur-ansur pulih dengan lebih banyak pembukaan semula aktiviti ekonomi dan kebenaran perjalanan antara negeri dan antarabangsa.

"Walaupun keadaan beransur normal serta penyesuaian dengan norma baharu, kami sedar pelanggan memerlukan sokongan kewangan dilanjutkan.

"Oleh itu, Bank Islam menggandakan usahanya memastikan penyampaian perkhidmatan ke tahap terbaik dan mencapai kemakmuran mampan untuk bank dan komuniti apabila kita pulih daripada kesan pandemik," katanya.

Dengan pelaksanaan Urus, beliau berkata, ia membolehkan Bank Islam mengurangkan kesan pandemik melalui penyediaan bantuan yang diperlukan kepada segmen komuniti yang paling terkesan, khususnya kumpulan B50.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 7:15 AM