Pengarah Eksekutif ISG, Nazli Aziz.
Pengarah Eksekutif ISG, Nazli Aziz.
Mohd Zaky Zainuddin


Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangkakan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) kembali pulih seperti sebelum penularan Covid-19 menjelang 2025.

Pengarah Eksekutif ISG, Nazli Aziz berkata, pemulihan operasi lapangan terbang yang dikendalikan MAHB di Turki itu yang kini berada pada tahap 90 hingga 95 peratus.

Ia sekali gus dijangka dapat menyokong pemulihan pendapatan MAHB bermula 2024.

Katanya, kemajuan pemulihan operasi di ISG yang kini berada pada tahap memberangsangkan itu disokong prospek positif, kadar vaksinasi dan sokongan kerajaan Turki ke atas sektor pelancongan tempatan.

"Kami sangat optimis dengan prospek pemulihan operasi ISG. Pembukaan sempadan oleh kerajaan Turki bagi menyokong sektor pelancongan akan memacu pemulihan lapangan terbang ini.

"Justeru, ISG akan menjadi lapangan terbang antara terpantas pulih kepada era sebelum pandemik menjelang 2025," katanya pada taklimat media hari ini.

ISG adalah lapangan kendalian sepenuhnya oleh MAHB di Turki yang memiliki kapasiti 41 juta penumpang setahun.

Pada 2019, lapangan terbang domestik utama di Turki itu merekodkan pergerakan penumpang mencecah 36 juta setahun sebelum menyusut kepada 17.2 juta pada 2020 ekoran Covid-19.

ISG turut dinobatkan sebagai lapangan kedua paling sibuk di Turki selepas Istanbul Grand Airport dan pada separuh pertama 2021, ia berada di keempat di Eropah.

Nazli berkata, pembinaan landasan kedua yang dijangka beroperasi pada separuh kedua tahun depan dijangka meningkatkan kehadiran pesawat seterusnya melonjakkan lagi kadar pergerakan penumpang di ISG.

"Landasan kedua ini dijangka meningkatkan kapasiti dua kali ganda apabila kedua-dua landasan ini beroperasi kelak.

"Operasi di ISG akan memberi sumbangan signifikan kepada MAHB. Ketika ini jumlah pergerakan penumpang di lapangan mewakili 25 peratus daripada jumlah keseluruhan pergerakan penumpang yang dimiliki di semua lapangan terbang kendalian MAHB," katanya.

Beliau menegaskan, ISG telah memainkan peranan penting dalam memberi sumbangan positif kepada MAHB dan dijangka akan terus memberi sumbangan besar dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Saya amat yakin dengan prospek ISG pada masa depan dan ini pastinya akan memberi penting kepada MAHB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 6:21 PM