Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Bhd telah memperluaskan bantuan kewangannya untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah B50 melalui Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS).

URUS, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober lalu, akan membolehkan industri perbankan untuk terus membantu pelanggan B50 dalam mengurus dan melaksanakan komitmen pembiayaan mereka dalam persekitaran semasa yang mencabar.

Bank Islam berkata inisiatif itu, yang bermula semalam, dibuka sehingga 31 Januari 2022, kepada pelanggan B50 yang layak.

"Bank Islam akan memudahkan pra-pemprosesan permohonan URUS sebelum menyerahkannya kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk semakan dan kelulusan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Setelah mengemukakan permohonan lengkap mereka kepada AKPK, Bank akan memaklumkan kepada pelanggan melalui e-mel. Selepas itu AKPK akan menghantar e-mel kepada pemohon berhubung pelan kewangan peribadi dan status permohonan."

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, ekonomi Malaysia dijangka beransur-ansur pulih dengan lebih banyak pembukaan semula aktiviti ekonomi dan kebenaran untuk perjalanan di antara negeri dan antarabangsa.

"Walaupun keadaan kembali beransur-ansur normal serta penyesuaian dengan norma baharu, kami juga sedar bahawa pelanggan memerlukan sokongan kewangan yang dilanjutkan.

"Oleh itu, Bank Islam menggandakan usahanya untuk memastikan penyampaian perkhidmatan ke tahap yang terbaik dan mencapai kemakmuran mampan untuk bank dan komuniti apabila kita pulih daripada kesan pandemik," jelas beliau.

Dengan pelaksanaan URUS, beliau berkata ia akan membolehkan Bank Islam mengurangkan lagi kesan pandemik melalui penyediaan bantuan yang amat diperlukan kepada segmen komuniti yang paling terkesan, khususnya kumpulan B50.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 7:34 PM