Tony (kanan sekali) bersama pengurusan kanan AirAsia selepas mengumumkan pelantikan Colin Curie sebagai Ketua Pegawai Komersial kumpulan itu.
Tony (kanan sekali) bersama pengurusan kanan AirAsia selepas mengumumkan pelantikan Colin Curie sebagai Ketua Pegawai Komersial kumpulan itu.
BERNAMA

Sepang: AirAsia Group menyasarkan untuk kembali meraih pendapatan yang menyamai tahap sebelum pandemik Covid-19 dalam tempoh seawal enam bulan berikutan langkah Malaysia membuka semula sempadan secara berperingkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes berkata prospek itu turut didorong oleh kadar vaksinasi yang terus meningkat, perkembangan berkaitan penghasilan pil Covid-19, imuniti berkelompok selain pembukaan semula sempadan di Singapura dan Thailand.

"Apa yang saya jangkakan, kami memerlukan tempoh enam bulan hingga sembilan bulan untuk kembali ke tahap sebelum pandemik Covid-19.

"Bukan saya yang tentukan pembukaan semula sempadan. Namun, jika sempadan dibuka sepenuhnya dan tiada ketetapan bagi ujian pengesanan pantas PCR dan kuarantin, kami mungkin dapat kembali kepada keadaan itu dalam masa kira-kira tiga bulan.

"Permintaan sememangnya ada tetapi terpulanglah kepada kerajaan untuk mengambil langkah berani," katanya kepada media dalam majlis pengumuman pelantikan Colin Curie sebagai Ketua Pegawai Komersial kumpulan itu.

Fernandes juga menyifatkan langkah pembukaan semula sempadan antarabangsa sebagai amat penting berikutan tahap pemulihan industri penerbangan dan pelancongan di Asia Pasifik masih ketinggalan berbanding di Eropah dan Amerika Syarikat.

Malaysia dijadual membuka semula sempadannya pada 15 November ini dengan membenarkan kemasukan pelancong asing ke Pulau Langkawi menerusi projek perintis destinasi gelembung pelancongan antarabangsa.

Mengulas langkah Malaysia-Singapura melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) pada 29 November 2021, beliau berkata ini merupakan langkah awal bagi masa depan lebih menarik untuk kedua-dua negara.

Beliau bagaimanapun berharap langkah terbabit meliputi protokol VTL yang lebih mudah dan pantas memandangkan dua negara berjiran itu mencatat pencapaian memberangsangkan dalam program vaksinasi masing-masing.

"Apa yang saya tahu, ia dimulakan dengan hanya tiga penerbangan (mingguan). Singapura merupakan laluan paling sibuk di dunia dan tiga penerbangan itu pastinya tidak mencukupi.

"Oleh itu, adalah diharapkan angka tersebut akan ditambah apabila semakin ramai yang lebih yakin untuk melakukan perjalanan udara," katanya.

Menurutnya, kumpulan AirAsia sendiri menguruskan sejumlah 700 penerbangan pada masa ini berbanding hanya 66 penerbangan pada September lepas.

Dalam pada itu, Fernandes berkata syarikat penerbangan tambang rendah itu akan menerima semula kakitangannya yang dibenarkan bercuti daripada tugas masing-masing pada Januari tahun depan.

Malah, AirAsia juga dalam proses bagi pengambilan semula khidmat pekerjanya yang diberhentikan sebelum ini.

"Matlamat saya adalah untuk memastikan gaji pekerja dapat kembali seperti asal dalam bulan seterusnya manakala mereka yang diberi cuti pula dapat berkhidmat semula pada Januari depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 5:19 PM