GLOMAC optimis untuk mencapai jualan belum dibil yang dianggarkan RM580 juta dalam tempoh dua tahun lagi. FOTO Arkib NSTP
GLOMAC optimis untuk mencapai jualan belum dibil yang dianggarkan RM580 juta dalam tempoh dua tahun lagi. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Glomac Bhd, optimis untuk mencapai jualan belum dibil yang dianggarkan RM580 juta dalam tempoh dua tahun lagi serta akan memberi tumpuan terhadap projek yang sedang berjalan dan pelancaran projek baharunya dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM282 juta bagi tahun kewangan 2022.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata, biarpun berdepan dengan cabaran pasaran tidak menentu akibat pandemik, pihaknya akan terus memfokus kepada projek mampu milik dan kekal berwaspada dengan kesan berlarutan Covid-19.

Bagaimanapun katanya, prospek jangka panjang syarikat kekal utuh dan bagi suku ketiga 2022, Glomac akan melancarkan lima projek kediaman membabitkan rumah teres dan bertingkat.

"Projek yang akan dilancarkan (Lakeside Residences, Saujana KLIA, Saujana Perdana, Saujana Utama 5 dan Saujana Jaya, Johor) itu membabitkan kediaman bertanah dalam segmen pasaran pertengahan dan mampu milik yang terus mendapat sambutan kukuh daripada pembeli.

"Glomac juga berada pada kedudukan yang baik untuk mempercepatkan aktiviti pembangunan kami apabila sentimen pasaran bertambah baik, berbekalkan kekuatan lembaran imbangan, Glomac bersedia untuk menggiatkan aktiviti pembangunan, sejajar kekuatan dan perancangan rapi pelbagai projek pembangunan di Lembah Klang dengan GDV dianggarkan berjumlah RM8 bilion," katanya pada sidang media Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang ke-37 Glomac di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga percaya dengan pembukaan semula banyak sektor ekonomi akan memberi keyakinan kepada pembeli yang sebelum ini lebih berhati-hati ekoran Covid-19.

Menurutnya, aktiviti pembinaan juga sudah mula aktif dan galeri jualan pula sudah boleh dibuka semula untuk kunjungan pelanggan.

Fateh Iskandar berkata, berkata untuk terus memacu jualan, kumpulan itu menerima norma digital baharu di mana ia menyediakan sambungan jalur lebar dan menggabungkan reka bentuk kerja dari rumah dalam pelancaran baharunya, termasuk membangunkan platform pemasaran digital yang kukuh untuk melengkapkan pendekatan pemasaran konvensional.

"Glomac turut bekerjasama rapat dengan beberapa syarikat telekomunikasi untuk menyediakan jalur lebar yang lebih baik dan sambungan Wi-Fi yang lebih baik dalam jangka sederhana hingga lebih panjang," katanya.

Sementara itu, Glomac mencatatkan hasil berjumlah RM366.9 juta bagi tahun kewangan 2021 meningkat 49 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan untung sebelum cukai melonjak 188 peratus kepada RM58.1 juta berikutan aktiviti pembinaan yang semakin rancak dan kerugian nilai saksama lebih rendah atas pelaburan hartanah berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 4:55 PM