AMIRUDIN (tiga kiri) melancarkan Skim Pembiayaan Baharu Hijrah Selangor i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
AMIRUDIN (tiga kiri) melancarkan Skim Pembiayaan Baharu Hijrah Selangor i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Kerajaan negeri melalui Yayasan Hijrah Selangor melancarkan Skim Pembiayaan Baharu Hijrah Selangor bagi membantu usahawan memulihkan dan memulakan semula perniagaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan program berkenaan membabitkan pengenalan tiga Skim Pembiayaan Baharu iaitu Skim i-Lestari, Skim i-Agro dan Skim i-Bermusim.

Katanya, bagi tujuan ini, kerajaan negeri mensasarkan peruntukan sebanyak RM80 juta untuk pelaksanaan ketiga-tiga skim baharu yang diperkenalkan itu bagi tempoh tahun ini dan tahun depan.

"Skim i-Lestari menawarkan modal tambahan yang lebih tinggi bermula daripada RM 51,000 sehingga RM100,000, ini diberikan kepada usahawan yang sudah menjalankan aktiviti perniagaan dan berusaha untuk mengembangkan perniagaan sedia ada.

"Skim i-Agro pula ditawarkan kepada usahawan yang menjalankan aktiviti pertanian, penternakan dan akuakultur dengan modal tambahan bermula daripada RM 1,000 sehingga RM 50,000.

"Skim ini bagi membantu usahawan sektor pertanian dalam penyediaan hab bekalan makanan yang secukupnya khusus kepada rakyat di Selangor, di samping menggalakkan generasi kedua petani terutama belia dan graduan menganggur menceburi bidang pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Skim Pembiayaan Baharu di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor.

Amirudin berkata, Skim i-Bermusim pula diperkenalkan kepada usahawan yang memerlukan modal pusingan perniagaan yang menjalankan perniagaan bermusim seperti Bazar Ramadan, Bazar Perayaan dan Gerai Buah-Buahan Bermusim.

"Skim ini bagi memulih dan mengembangkan tambahan cabang perniagaan sampingan yang beroperasi sedia ada dalam masa yang singkat.

"Sehingga kini, Yayasan Hijrah Selangor sudah menyalurkan sebanyak 74,929 pembiayaan dengan nilai pembiayaan keseluruhan berjumlah RM601,817,500.

"Pelancaran Skim Pembiayaan Baharu Hijrah Selangor diharapkan dapat membantu usahawan untuk memulihkan perniagaan akibat terkesan pandemik Covid-19 dan mengembangkan lagi perniagaan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 4:44 PM