Datuk Iskandar Mizal Mahmood
Datuk Iskandar Mizal Mahmood
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melantik Datuk Iskandar Mizal Mahmood sebagai Pengarah Urusan (MD) yang baharu berkuat kuasa 25 Oktober.

Dalam mengalu-alukan Iskandar ke jawatan baharu itu, pengendali lapangan terbang itu berkata industri penerbangan adalah landskap yang sentiasa berubah berikutan penduduk dunia yang menyesuaikan dengan gaya hidup baharu dan trend teknologi, terutamanya disebabkan pandemik yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Perniagaan terpaksa tampil dengan model perniagaan baharu dan penyelesaian inovatif dalam usaha untuk mengekalkan kemampanan dan transformasi untuk pertumbuhan.

"Malaysia Airports dalam usaha untuk menjadi kumpulan lapangan terbang global yang menyokong kesalinghubungan dan kemampanan, mengalu-alukan pemimpin yang dapat menerajui syarikat dalam persekitaran inovasi yang berterusan," katanya.

Iskandar adalah pemimpin korporat dengan pengalaman selama lebih 32 tahun dan pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat daripada syarikat multinasional hingga syarikat berkaitan kerajaan dalam pelbagai sektor serta 18 tahun berada dalam jawatan kepimpinan.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat dengan MAHB sebagai Pengurus Besar (1999-2003) dan menerajui tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia.

Portfolio beliau di MAHB termasuklah Kewangan, Kewangan Korporat, Pembangunan Perniagaan dan Hubungan Pelabur.

Dalam makluman berasingan, pengendali lapangan terbang itu mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:54 PM