FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Kuala Lumpur: Penggiat industri penerbangan berharap kerajaan akan mempertimbangkan pelbagai pakej bantuan dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan bagi menyokong pemulihan perjalanan udara dan operator pelancongan.

Sebagai satu daripada industri yang paling terjejas ketika pandemik Covid-19, sokongan kukuh daripada kerajaan seperti pengecualian cukai, kos perjalanan lebih rendah dan strategi pekerjaan penting untuk memulihkan semula keseluruhan ekosistem, demikian menurut Malaysia Aviation Group (MAG), AirAsia Group dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

MAG berharap Bajet 2022 akan merangkumi pengecualian atau penangguhan bayaran cukai, levi atau caj daripada kerajaan dan pihak berkuasa kawal selia tanpa dikenakan faedah atau penalti sehingga 31 Disember tahun depan.

"Langkah ini akan membantu meringankan aliran tunai syarikat penerbangan," menurut Malaysia Airlines kepada Bernama.

Pada masa ini, syarikat penerbangan dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan, Levi Berlepas Malaysia, Caj Perkhidmatan Pengawalseliaan dan Caj Perkhidmatan Penumpang.

MAG turut berharap kerajaan akan mempertimbangkan pelanjutan had masa bagi kerugian cukai yang belum digunakan melebihi tempoh tujuh tahun ekoran impak pandemik yang berpanjangan dan kelonggaran syarat pelepasan kumpulan.

Menerusi syarat pelepasan kumpulan yang diperketatkan, hanya syarikat baru diperbadankan dibenarkan berkongsi kerugian tahun semasa mereka kepada entiti yang berkaitan, sehingga tempoh tiga tahun.

"Berikutan pandemik, terdapat kerugian yang signifikan dalam industri pelancongan dan kebanyakan perniagaan mengalihkan tumpuan mereka kepada bidang yang lebih memberangsangkan ketika kawalan pergerakan untuk menyokong seluruh kumpulan dari segi kewangan.

"Kelonggaran syarat pelepasan kumpulan membantu meringankan beban syarikat kumpulan yang masih bergelut untuk mencatatkan keuntungan," kata MAG.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 8:07 AM