Tengku Zafrul (kiri sekali) ketika menziarahi penerima MySalam.
Tengku Zafrul (kiri sekali) ketika menziarahi penerima MySalam.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Kerajaan meluluskan sebanyak RM115.2 juta tuntutan Covid-19 bagi Skim Perlindungan Masyarakat MySalam (MySalam).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sehingga 30 September lalu, sebanyak 108,458 tuntutan berjumlah RM92,913,250 diluluskan kepada penerima MySalam.

"Jumlah tuntutan Covid-19 yang diluluskan kepada penerima MySalam sejak permulaan pandemik ini adalah sebanyak RM115.2 juta.

"Golongan B40 yang layak akan menerima skim perlindungan sebanyak RM8,000 bagi 36 penyakit kritikal seperti yang tersenarai," katanya dalam laporan Laksana ke-71 yang dikeluarkan hari ini.

MySalam adalah skim perlindungan berbentuk insurans yang diberikan kepada golongan B40 melalui Tabung Amanah MySalam.

Skim MySalam dipanjangkan kepada kumpulan B40 yang dijangkiti Covid-19 dan mereka yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI) melalui inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

Sementara itu, berkaitan prospek pemulihan ekonomi negara, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan menjangkakan keadaan yang lebih memberangsangkan dalam tempoh waktu terdekat.

Katanya, ia akan disokong oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi secara sistematik di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk aktiviti sosial seperti makan di restoran dan pelancongan.

Selain itu, katanya pemulihan dalam pasaran buruh juga menunjukkan kadar pengangguran berkurangan kepada 4.8 peratus pada Julai 2021 berbanding paras tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020.

Jualan sektor pembuatan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus kepada RM119.8 bilion pada Julai 2021 berbanding penguncupan 33 peratus pada April 2020.

"Perdagangan luar juga melonjak dengan aktiviti eksport yang berkembang sebanyak 18.4 peratus kepada RM95.6 bilion pada Ogos 2021 manakala aktiviti import meningkat 12.5 peratus kepada RM74.2 bilion," katanya.

Tengku Zafrul berkata, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang kedua melihat pelaksanaan langkah rangsangan ekonomi secara berterusan oleh Kementerian Kewangan, menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dijangka kekal kukuh pada enam peratus berdasarkan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), manakala 5.8 peratus oleh Bank Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 7:03 PM