SAARANI (kiri) bersama Hermono. FOTO Facebook Saarani Mohamad
SAARANI (kiri) bersama Hermono. FOTO Facebook Saarani Mohamad
BERNAMA

Ipoh: Kerajaan Perak akan memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Indonesia khususnya dalam sektor ekonomi.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, satu pertemuan diadakan dengan Duta Besar Indonesia di Malaysia Hermono bersama dengan delegasi Indonesia ke Perak semalam.

"Perbincangan kami banyak menjurus bagaimana kolaborasi boleh dijalin untuk Perak memainkan peranan signifikan dalam mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara dua negara.

"Dalam suasana dunia masih dihantui wabak Covid-19, polisi dan kesalinghubungan antara kedua-dua negara dalam segenap bidang perlu diperkukuhkan demi manfaat bersama," katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Saarani berkata, kerjasama terutamanya di peringkat serantau perlu dipererat dan diperkuat bagi melawan pandemik Covid-19 secara bersama.

Pertemuan itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 4:55 PM