KEMUDAHAN yang disediakan di Cookhouse.
KEMUDAHAN yang disediakan di Cookhouse.

Kuala Lumpur: Maybank Islamic Berhad mengumumkan kerjasama strategik dengan Cookhouse Malaysia untuk menawarkan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B) untuk mengakses dapur awan (cloud kitchen) yang komprehensif dan lengkap di Malaysia.

Kerjasama pertama seumpamanya antara bank dan penyedia dapur awan utama di Malaysia ini membolehkan PKS menyewa ruang dapur kelas komersial khusus dengan kemudahan canggih dengan sewa bulnan serendah RM900.

Inisiatif ini bermanfaat bagi PKS yang beroperasi dari rumah, tetapi memiliki perancangan mengembangkan perniagaan mereka dan mendapatkan sijil perakuan halal.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, kerjasama berkenaan sebahagian daripada usaha Maybank Islamic memanfaatkan pasaran halal yang kian berkembang.

"Usahawan F&B dapat memanfaatkan kepakaran Cookhouse sebagai antara penyedia dapur awan yang terkemuka di negara ini yang dapat membantu mereka dalam selok-belok pengoperasian, menurunkan kos permulaan dan membantu mereka dalam kebolehpasaran produk dengan cara lebih efisien.

"Ini juga termasuk memberi mereka penyelesaian lengkap seperti platform pesanan dalam talian, pembayaran tanpa tunai dan integrasi ke dalam perkhidmatan penghantaran makanan," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 9:35 AM