MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

KERAJAAN melanjutkan program PenjanaKerjaya yang kini memasuki siri 3.0 bermula 15 Julai lalu dengan beberapa penambahbaikan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, di bawah PenjanaKerjaya 3.0, kadar gaji minimum direndahkan daripada RM1,500 kepada RM1,200 sebulan untuk semua kumpulan pekerja yang digajikan bagi jawatan yang biasanaya diisi pekerja asing.

"Tempoh kontrak penggajian dikurangkan daripada 12 bulan kepada enam bulan bagi kumpulan pekerja berumur 50 tahun ke atas, orang kelainan upaya (OKU) dan bekas banduan.

"Setakat 3 September, RM5.10 juta disalurkan melalui PenjanaKerjaya 3.0 dan memanfaatkan 1,717 majikan yang melibatkan 4,631 pekerja.

"Secara keseluruhan, kerajaan menyalurkan RM995.36 juta kepada 33,304 majikan melalui PenjanaKerjaya bagi mengekalkan 256,253 pekerja tempatan dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan mengurangkan pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia," katanya dalam Laporan Laksana ke-67, semalam.

Katanya, di bawah PenjanaKerjaya 2.0, kerajaan meneruskan inisiatif pengambilan pekerja dari bulan Januari hingga Jun 2021 dengan beberapa penambahbaikan.

"Insentif pekerja bergaji minimum RM1,500 dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan kepada 40 peratus daripada gaji bulanan, terhad kepada insentif maksimum RM4,000 sebulan.

"Bagi menggalakkan peluang pekerjaan kepada golongan OKU, penganggur jangka panjang dan pekerja diberhentikan, majikan diberi insentif tambahan 20 peratus, menjadikan keseluruhan insentif majikan berjumlah 60 peratus.

"Bagi sektor dengan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing seperti pembinaan dan perladangan, insentif khas 60 peratus daripada gaji bulanan disediakan dengan 40 peratus disalurkan terus kepada majikan dan 20 peratus kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing. Ketiga-tiga insentif ini diberikan untuk tempoh enam bulan," katanya.

Menurutnya, kos program latihan yang layak dituntut majikan juga ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM7,000 bagi menjalani program kemahiran tinggi atau sijil profesional.

Katanya, setakat 3 September, RM354.52 juta disalurkan melalui PenjanaKerjaya 2.0 sebagai insentif pengambilan pekerjaan yang memanfaatkan 16,491 majikan dan 135,322 pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 7:10 AM