FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Kuala Lumpur: Data dan teknologi menjadi antara elemen penting dalam merancang pemulihan ekonomi Malaysia pascapandemik Covid-19 secara teliti.

Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan memanfaatkan kelebihan data untuk membantu negara supaya menjadi lebih cekap dan responsif, didorong semangat keterangkuman ke arah daya tahan lebih baik dan kemakmuran bersama.

"Rangka Tindakan Ekonomi Digital di bawah inisiatif MyDIGITAL amat penting dalam memacu sektor perniagaan untuk bersaing di arena global memandangkan ia menyediakan insfrastruktur digital dan ekosistem digital.

"Rangka Tindakan Ekonomi Digital merangkumi pelaburan menerusi projek Jalinan Digital Negara (Jendela), pelaburan untuk mempertingkatkan kesambungan kepada rangkaian kabel dasar laut antarabangsa sehingga 2023, serta rancangan 10 tahun bagi pelaksanaan 5G di seluruh negara dan perkhidmatan pengkomputeran awan," katanya ketika menyampaikan ucapan khas di Sidang Kemuncak Pemulihan Negara yang diadakan secara maya, semalam.

Tengku Zafrul berkata, usaha itu turut meliputi pengukuhan ekosistem digital, menyokong penerimagunaan digital serta privasi dan perlindungan data.

Beliau berkata, sejajar aspirasi 5G negara, kerajaan juga mempercepat pembangunan dan pertumbuhan kesambungan dan liputan 5G berkelajuan tinggi yang mampu milik dan boleh dipercayai.

"Kita memulakan fasa satu dengan 10 peratus liputan 5G di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya pada akhir 2021.

"Fasa 1b merangkumi kira-kira 40 peratus liputan di bandar utama di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak pada akhir 2022, diikuti kawasan lain secara berperingkat dengan 80 peratus liputan nasional pada 2024," katanya.

Tengku Zafrul berkata, gabungan langkah ini menggerakkan usaha jangka pendek bagi memastikan pembukaan semula ekonomi Malaysia pada landasan lebih kukuh di samping menentukan negara berkedudukan baik untuk memanfaatkan sepenuhnya aliran mega masa depan pada jangka pertengahan dan panjang.

Beliau berharap PPN dan Belanjawan 2022 berperanan sebagai templat, bukan hanya berkaitan penyelesaian untuk keluar daripada pandemik ini, malah bagaimana menghadapi cabaran lebih mendesak pada masa depan.

"Saya menggesa semua pihak, kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil untuk bersama berusaha sebagai Keluarga Malaysia. Mari kita menang bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 8:57 AM